Padah buang sisa binaan atas tanah kerajaan
MELAKA - Tindakan dua syarikat dan seorang lelaki mengambil jalan mudah membuang sisa binaan di tanah rezab kerajaan, akhirnya menerima padah selepas masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.
Hakim Darmafikri Abu Adam, menjatuhkan hukuman itu terhadap sebuah syarikat yang diwakili pengarahnya, Chong Teck Sin manakala Syarikat Y.J.T Constuction & Trading Sdn Bhd yang diwakili penyelianya dan seorang individu lain, Fong Chia Fatt, 35, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di kawasan Cheng, Batu Berendam dan Bukit Katil di sini, antara 18 April 2018 hingga 20 Januari lalu.
Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan berasingan, kesemua Orang Kena Saman (OKS) didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal di tempat kejadian.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Abd Hadi Abd Wahab memohon semua OKS dikenakan hukuman setimpal kerana pembuangan sampah seumpama ini mengakibatkan pencemaran dan menjejaskan kesihatan orang awam.
Kesemua OKS memohon hukuman denda yang ringan kerana telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
Mahkamah kemudian menetapkan setiap tertuduh didenda minimum RM10,000 dan semua tertuduh membayar denda dikenakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!