Elak perpecahan dengan ikut ajaran Islam sebenar: Dr Mahathir

Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Majlis Iftar Bersama Perdana Menteri hari ini. -Foto Bernama
Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Majlis Iftar Bersama Perdana Menteri hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Perpecahan dalam masyarakat boleh dielak jika ajaran agama difahami dan diamalkan dalam erti kata sebenar, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata dalam masyarakat Islam sendiri, perkara yang dilarang agama itu masih terjadi disebabkan Islam digunakan atas kepentingan politik dan peribadi.

"Ini antara sebab berlakunya perpecahan masyarakat dalam negara, sedangkan jika mengikuti dan mengamalkan Islam yang diajar Imam As-Shafie, perkara ini tentunya tidak terjadi.

"Namun, hari ini, dalam kita bercakap tentang Islam kita masih melakukan perkara yang salah dari sisi masyarakat dan agama,” katanya ketika berucap pada majlis iftar Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) bersama Perdana Menteri di sini hari ini.

Hadir sama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor. Dr Mahathir berkata memahami larangan yang diajar Islam dan mengamalkan apa yang diajari penting bagi memastikan orang Islam dipandang tinggi dan mulia oleh masyarakat, khususnya yang bukan Islam.

Beliau berkata antara sifat sebenar orang Islam ialah adil, bertanggungjawab dan boleh dipercayai yang apabila sifat-sifat itu diterjemahkan dalam kehidupan seharian akan mengundang keyakinan orang untuk bekerjasama dengan orang Islam.

Perdana Menteri turut menarik perhatian bahawa masyarakat di negara ini perlu bersyukur dengan nikmat keamanan yang dikecapi sekaligus membolehkan mereka mengamalkan ajaran agama tanpa sebarang kebimbangan.

"Berbanding negara Islam lain, kita di sini diberikan keamanan yang baik dan boleh melakukan ibadah, aktiviti beragama seperti berpuasa dan mengadakan majlis berbuka puasa tanpa bimbang diserang oleh mana-mana pihak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Perkim, Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua pertubuhan itu, mengingatkan anggotanya agar melakukan kerja-kerja dakwah berpandukan ajaran Islam yang sebenar.

Beliau berkata setiap ayat Al-Quran yang digunakan ketika berdakwah perlu disertai perlakuan yang menggambarkan ketinggian dan kebaikan Islam, yang boleh menjadi paksi menarik golongan sasar menerima agama suci itu.

"Sebab itu perlu faham ajaran dan larangan yang diajar Islam dan jika perlakuan kita sama seperti diajar agama Islam, saya yakin tanpa penjelasan yang mendalam pun, orang lain akan menerima Islam," katanya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!