Pemilik kelab komedi Crackhouse tarik balik semakan kehakiman DBKL
KUALA LUMPUR - Pemilik kelab komedi kontroversi, Crackhouse menarik balik permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu terhadap tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membatalkan lesen perniagaan dan tidak membenarkan pendaftaran perniagaan itu di ibu negara selama-lamanya.
Hakim, Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas peguam, M Pravin memaklumkan kepada mahkamah bahawa dua anak guamnya, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R Santhiram telah menarik balik tindakan undang-undang tersebut.
Mahkamah kemudiannya membatalkan permohonan berkenaan tanpa memutuskan perintah terhadap sebarang kos.
Semasa prosiding, Pravin berkata, pemohon tidak berhasrat untuk meneruskan kes itu kerana DBKL tidak menyenarai hitam nama mereka daripada mendaftarkan perniagaan, sebaliknya hanya membatalkan lesen kelab komedi itu.
"Sehubungan itu, kami menarik balik permohonan semakan kehakiman tanpa memohon perintah terhadap kos,'' katanya.
Sementara itu, peguam, Khalisa Badrul Amini yang mewakili DBKL, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah selaku responden, mengesahkan perkara tersebut.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan pada Rabu untuk mendengar merit permohonan itu selepas kedua-dua pemohon mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman pada 23 Mei lalu.
Pada 24 November tahun lalu, kedua-dua pemilik kelab komedi kontroversi itu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan membatalkan lesen kelab itu adalah menyalahi undang-undang.
Permohonan perisytiharan juga dibuat berhubung isu tidak membenarkan mereka yang juga pengasas kelab komedi itu untuk mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur seumur hidup, meskipun bawah nama dan syarikat lain, adalah tidak berperlembagaan.
Turut dimohon satu perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan itu atas alasan mereka mempunyai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan perniagaan dengan lesen sah, di bandar raya ini.
Pada 12 Julai tahun lalu, Jalaluddin (ketika itu Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan) mengumumkan bahawa lesen Kelab Komedi Crackhouse digantung bermula 10 Julai, dan premisnya disita DBKL sehari kemudian.
Tindakan serta-merta tersebut dibuat susulan tular video seorang wanita membuka tudung dan menanggalkan pakaian namun mengakui Islam serta menghafal 15 juzuk surah al-Quran ketika membuat persembahan di premis komedi terbabit.
Untuk rekod, Mohamad Rizal berdepan tiga pertuduhan kes jenayah di Mahkamah Sesyen di sini, pada 22 Julai tahun lalu, iaitu membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil 'Rizal van Geyzel, Instagram 'rizalvangeyzel' dan TikTok 'rizalvangeyzel', antara 4 hingga 6 Julai 2022.
Bagaimanapun, pada 7 Jun lalu, Mohamad Rizal didenda RM8,000 selepas menukar pengakuan kepada bersalah bagi salah satu pertuduhan itu.
Rizal, 40, menukar pengakuannya pada sebutan kes itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi ketiganya.
Bagi dua lagi pertuduhan, ia dipertimbangkan sebagai take into consideration (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!