Warga emas didakwa cabul cucu tiri bawah umur guna objek
MELAKA - Seorang pengawal keselamatan warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu tirinya berusia 12 tahun, awal bulan ini.
Tertuduh yang berusia 60 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu datuk tiri didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 9.20 malam sehingga 10.30 malam di sebuah rumah di daerah Jasin, pada 6 Ogos lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah melakukan hubungan seks dengan objek terhadap mangsa sama pada masa, tempat dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun, sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan dilakukan tertuduh begitu serius selain kepentingan keselamatan mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.
Beliau turut memohon syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan ke balai polis setiap bulan bermula Ogos selain tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding berlangsung.
Tertuduh diwakili Peguam Umar Zulkarnain merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan sebagai pengawal keselamatan dan menyara isteri yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 9 Oktober depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!