MB Kelantan pegang lima portfolio Exco
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud memegang lima portfolio pada penggal pentadbiran kali ini.
Portfolio itu melibatkan Perancangan, Pentadbiran Awam, Kewangan, Ekonomi dan Tanah.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan pula memegang portfolio Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-undang.
Pada penggal kali ini, barisan Exco Kelantan menyaksikan berlaku perubahan dalam beberapa jawatan.
Wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat dilantik sebagai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi manakala Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit, Mohd Asri Mat Daud.
ADUN Kemahang, Datuk Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman pula dilantik sebagai Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, diikuti oleh ADUN Guchil, Hilmi Abdullah menggalas Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar.
ADUN Selising, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail kekal sebagai Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komiditi.
ADUN Kijang, Datuk Dr Izani Husin memegang portfolio Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita disandang oleh ADUN Tanjong Mas, Rohani Ibrahim.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan digalas oleh ADUN Air Lanas, Datuk Kamarudin Md Nor.
ADUN Apam Putra, Zamakhshari Muhamad dilantik sebagai Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!