Lebih 2,000 anggota polis bertugas pada sambutan Hari Kebangsaan
KUALA LUMPUR - Lebih 2,000 anggota polis akan bertugas pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.
Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran/Belanjawan) Bukit Aman, Asisten Komisioner Rizal Abd Rahman berkata, penugasan itu bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman orang ramai yang hadir menyaksikan acara berkenaan selain mengawal trafik.
"Keanggotaan itu melibatkan Kontinjen Selangor, Kuala Lumpur dan Bukit Aman. Kita akan menempatkan pegawai dan anggota di lokasi strategik bagi menjaga keselamatan serta tugas pemantauan.
"Kita akan bertindak segera jika berlaku apa-apa insiden bagi mengelakkan ancaman keselamatan terhadap orang awam yang hadir untuk menyaksikan perbarisan," katanya dalam program Bicara Khas di SELANGORfm 100.9, di sini pada Rabu.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga berkolaborasi dengan agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awan serta Perbadanan Putrajaya untuk mencapai tahap keselamatan terbaik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Mengulas lanjut, Rizal berkata, penggunaan dron tanpa kelulusan di kawasan persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya adalah dilarang bermula dari 21 hingga 31 Ogos ini bagi mengelak berlakunya risiko kemalangan dan menjaga keselamatan orang ramai yang hadir.
"Sebanyak 22 jalan di sekitar Putrajaya akan ditutup bermula jam 5 pagi sehingga 11 pagi, pada 31 Ogos ini, antaranya Persiaran Perdana dari bulatan Putra Perdana, Lebuh Wawasan, Lebuh Saujana ke Persiaran Perdana serta Lebuh Bestari ke laluan sama.
"Jalan Pembangunan dari arah Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Pemodenan, Jalan Kemerdekaan serta beberapa jalan lain turut ditutup," katanya.
Rizal berkata, PDRM juga akan terlibat sebagai peserta perbarisan pada Hari Kebangsaan itu.
"Kita mahu memberi persembahan terbaik dengan mempamerkan aset PDRM," katanya.
Ujar beliau, lebih 1,400 anggota pula akan terbabit secara langsung dalam acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan.
"Pucuk pimpinan PDRM akan mengetuai Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam perbarisan itu bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan.
"Selain itu, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Udara, Pasukan Gerakan Khas 69 Komando dan Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM juga terbabit dalam perbarisan serta perarakan itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!