'Rumah kami sunyi, tiada lagi celoteh Iman'

Muhammad Nizam menunjukkan buah rambutan yang dimakan Iman. Gambar kecil: Nur Iman Fitriah
Muhammad Nizam menunjukkan buah rambutan yang dimakan Iman. Gambar kecil: Nur Iman Fitriah
A
A
A

MARAN - Pemergian anak bongsu daripada empat beradik yang maut akibat tercekik buah rambutan dalam kejadian di Kampung Bukit Cempedak pada Isnin, amat dirasai seluruh keluarganya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, mangsa Nur Iman Fitriah Muhammad Nizam, 9, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bukit Tajau kira-kira jam 7.30 malam.

Bapa mangsa, Muhammad Nizam Othman, 51, berkata, kehilangan Iman amat dirasai mereka sekeluarga memandangkan tiga lagi anaknya yang lain berusia 19, 25 dan 28 tahun sudah bekerja.

Menurutnya, Iman adalah seorang anak yang ceria, suka berceloteh dan sangat rapat dengannya.

"Iman seorang yang ceria, suka berceloteh selain gemar merakam video guna telefon bimbit saya. Tak sanggup nak tengok, sekarang keadaan rumah sudah sunyi. Kami reda dan menerima takdir yang menimpa Iman," katanya sebak.

Menceritakan kembali kejadian itu, Muhammad Nizam berkata, dia mengetahui kejadian menimpa Iman selepas mendengar jeritan anak saudaranya.

Suriyani menunjukkan lokasi anaknya makan buah rambutan pada hari kejadian.
Suriyani menunjukkan lokasi anaknya makan buah rambutan pada hari kejadian.

"Saya terdengar anak saudara menjerit sambil berkata, 'Pok Teh, Iman lekat rambutan'. Saya segera dapatkan Iman dan cuba buat pelbagai cara untuk keluarkan buah rambutan itu, namun gagal.

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu kami segera bergegas ke klinik berhampiran yang terletak kira-kira 15 minit dari rumah," katanya.

Sementara itu, isterinya, Suriyani Tahir, 48, berkata, ketika hari kejadian, anaknya pergi mengambil buah rambutan dengan sepupunya di rumah nenek saudara yang terletak berhampiran rumahnya.

Menurutnya, sebelum ini Iman ada meminta untuk makan buah rambutan, namun dia dan suaminya tidak benarkan kerana Iman mengalami batuk.

"Ketika dalam perjalanan ke klinik, keadaan Iman sudah lemah, muka dan badannya juga menjadi biru," katanya.

Tambah Suriyani, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, cuma sebelum itu Iman ada melambai ke arah dua anak saudaranya yang kebetulan lalu di depan rumah sedangkan selama ini dia mesti panggil suruh datang ke rumah dahulu.

Jenazah Nur Iman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Cempedak kira-kira jam 11 pagi pada Selasa.
Jenazah Nur Iman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Cempedak kira-kira jam 11 pagi pada Selasa.

Jenazah Nur Iman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Cempedak kira-kira jam 11 pagi pada Selasa.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd Rahman dalam laporan media memberitahu, doktor di klinik berkenaan telah mengeluarkan buah rambutan dari mulut mangsa sebelum jenazah dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.

Beliau menjelaskan, bedah siasat mengesahkan kematian mangsa akibat salur pernafasan tersumbat disebabkan oleh sesuatu objek dan mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

ARTIKEL BERKAITAN:

Budak maut akibat tercekik rambutan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!