PPPM capai kejayaan selepas sedekad, MASA rakam penghargaan kepada Muhyiddin

Azril dan Muhyiddin
Azril dan Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan antara penyumbang besar kepada kejayaan Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azril Mohd Amin berkata, ia berikutan pelan induk pendidikan itu dilancarkan pada 2013 lalu iaitu ketika Muhyiddin menyandang jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

"Beliau (Muhyiddin) telah berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan dari tahun 2009 hingga 2015, dan kepimpinannya yang cemerlang dan berwawasan jelas terbukti melalui penyediaan kerangka pembangunan pendidikan asas yang transformatif ini.

"Jelas, dedikasi dan komitmen Tan Sri Muhyiddin telah membuka jalan kepada penghasilan rancangan komprehensif ini yang telah menyaksikan kejayaan transformasi pendidikan sepanjang sedekad lalu.

"Di saat kita melangkah ke tahun seterusnya, MASA komited untuk meneruskan legasi kepimpinan Tan Sri Muhyiddin. Melalui kerjasama dan inovasi berterusan, kita yakin bahawa asas dan visi yang diilhamkan oleh beliau (Muhyiddin) akan membawa kita ke arah landskap pendidikan yang lebih bermakna dan berimpak tinggi," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi satu kenyataan memaklumkan PPPM 2013 hingga 2025 mencatatkan kejayaan selepas 10 tahun pelaksanaannya seperti terdapat dalam Laporan Tahunan 2022 yang telah dilancarkan pada Selasa bagi terus memacu transformasi pendidikan negara.

Menurut kenyatan itu, Laporan Tahunan 2022 dan Gallery Walk jelas menunjukkan walaupun terdapat pelbagai cabaran dan rintangan, ia dapat diatasi dengan keazaman yang tinggi dan inovasi yang mampan.

Sementara itu, Azril dalam masa sama turut menzahirkan penghargaan atas komitmen dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan, termasuk masyarakat umum, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan korporat, yang telah memainkan peranan penting dalam transformasi pendidikan negara.

Artikel Berkaitan:

Namun katanya, penghargaan tertinggi tentulah wajar diberikan kepada warga pendidikan di semua peringkat kementerian, jabatan dan pejabat pendidikan, khususnya di sekolah seluruh negara.

"Ternyata, sumbangan kolektif mereka telah mengukuhkan kejayaan menyeluruh pelan pembangunan tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!