Aduan penipuan, kegiatan tidak berlesen meningkat ketara sejak pandemik

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
A
A
A

PETALING JAYA - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendapati aduan dan pertanyaan mengenai kegiatan tidak berlesen serta penipuan meningkat ketara sejak pandemik Covid-19 melanda pada 2020.

Pengurus Besar Pengguna dan Pelabur SC, Jawahar Ali Ameer Ali berkata, SC telah menerima 1,799 aduan pada 2020 manakala sebanyak 3,475 aduan (2021) dan 2,461 aduan (2022).

Beliau berkata, bagi separuh pertama tahun ini pihaknya telah menerima kira-kira 1,670 aduan iaitu kira-kira 60 peratus daripada aduan yang diterima pada 2022.

Kebanyakan aduan yang diterima SC adalah berkaitan skim haram yang dipromosikan melalui media sosial, katanya kepada pemberita pada Simposium Perancangan Kewangan Tahunan anjuran Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, pelaku penipuan ini lazimnya menggunakan iklan Facebook yang ditaja, laman web palsu dan mewujudkan kumpulan Telegram awam untuk mempromosikan pakej pelaburan itu yang biasanya disertakan dengan testimoni palsu, sijil yang didakwa dikeluarkan oleh pelbagai agensi.

"Pelabur yang berminat kemudiannya akan diminta menghantar mesej kepada wakil untuk mula melabur secara langsung. ‘Pelaburan’ ini biasanya menjanjikan pulangan yang tidak realistik seperti pelaburan RM300 akan mendapat pulangan ribuan ringgit dalam masa beberapa jam.

"Peluang pelaburan seperti ini melalui media sosial adalah penipuan. Pelabur juga perlu berhati-hati sekiranya mereka diminta memasukkan wang ke dalam akaun peribadi (bank). Sehingga kini, pelabur telah kerugian berpuluh juta melalui penipuan pelaburan,” katanya.

Jawahar Ali berkata, SC telah melaksanakan pelbagai tindakan intervensi dan inisiatif untuk menyedarkan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"Antaranya, pada separuh pertama 2023, SC melakukan dua tindakan penguatkuasaan, mengeluarkan 170 senarai amaran, 95 sekatan laman web, enam sekatan akaun Instagram, 74 sekatan akaun Telegram, serta 58 sekatan di Facebook,” katanya.

Sementara itu, Presiden FPAM, Alvin Tan Chin Cherng berkata, simposium perancangan kewangan sehari itu, bertemakan ‘Evolusi Perancangan Kewangan’, menjadi platform penting bagi para profesional untuk mengharungi kerumitan dunia kewangan masa kini.

Beliau berkata, hadirin didedahkan dengan pelbagai topik menyeluruh dalam landskap kewangan, meliputi penipuan dan perlindungan pelanggan, pendigitalan dan pengurusan risiko, aset digital, kemampanan dan sistem dunia baharu yang pesat membangun.

"Perancang kewangan mempunyai peranan penting iaitu sebagai penggera keadaan bahaya untuk kebanyakan pelanggan dalam membantu menguruskan kewangan dan meningkatkan tahap celik kewangan mereka.

"Bagi menggalakkan pelanggan menggunakan bantuan perancang kewangan, FPAM mencadangkan kerajaan supaya memasukkan pelepasan cukai sebanyak RM1,000 ke atas fi perancangan kewangan menerusi Belanjawan 2024,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!