Tak munasabah letak harga Kelantan FC termasuk modal, hutang
TINDAKAN pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang meletakkan harga kelab tersebut termasuk dengan hutang dan harga modal yang telah dikeluarkan sebagai sesuatu yang tidak munasabah.
Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, Norizam tidak sepatutnya meletakkan nilai hutang RM3.8 juta yang telah dibayarnya kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan modal dikeluarkan semasa empat musim mengendalikan kelab itu sebagai harga yang perlu dibayar oleh pemilik baharu sekiranya mahu mengambil alih The Red Warriors (TRW).
"Kelantan FC ini bukannya pasukan ternama untuk dijual dengan harga yang mahal. Apa aset Kelantan FC ada untuk jual dengan harga yang tinggi? Ada stadium? Ada pemain bintang dengan kontrak yang panjang?
"Beliau (Norizam) juga tidak boleh meletakkan modal yang telah dikeluarkannya selama empat musim sebagai nilai untuk dibayar balik oleh pemilik baharu. Malah, hutang yang dituntut dengan KAFA itu mestilah ditanggung oleh Norizam sendiri.
"Harga pasukan itu ketika ini hanya RM1 juta ke RM1.5 juta. Sebarang harga lebih daripada itu boleh diletakkan tetapi bergantung kepada kesudian daripada pembeli," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Sebelum ini, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham masih menanti pembeli yang berani untuk membeli pasukan itu dengan harga yang bersesuaian.
Beberapa individu pernah tampil menyuarakan hasrat membeli pasukan Pantai Timur itu iaitu usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau dikenali Datuk Seri Vida dan pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan, namun masih tiada kata putus dicapai.
Terbaharu, Kamal Hisham Jaafar yang juga seorang peguam menyatakan minat untuk mengambil alih pasukan itu.
Beliau yang mempunyai rakan pelabur iaitu pemilik sebuah kelab di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sedang meneliti dari setiap sudut termasuk dari segi liabiliti pasukan sebelum meneruskan tawaran membeli kelab itu.
Dalam pada itu, Effendi menasihatkan agar Zamsaham memudahkan urusan penjualan kelab itu dan tidak memikirkan mengenai modal yang telah dikeluarkan sebelum ini.
"Perniagaan dalam bola sepak ini tak sama seperti perniagaan lain. Pemilik tidak boleh melihat kepada keuntungan atau modal yang telah dikeluarkan.
"Dalam keadaan sekarang ini, jika rasa perlu jual Kelantan FC, maka permudahkan kerana sudah ada pembeli yang sanggup," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pemilik Kelantan FC, Zamsaham sedia undur diri
Urusan jual beli kelab harus ikut kriteria MFL
Zamsaham tak jadi jual Kelantan FC
Norizam masih terbuka jual Kelantan FC
KAFA tidak campur tangan urusan jual beli Kelantan FC
Jual Kelantan FC: 'Bergantung kepada Zamsaham'
Norizam teruja tawaran RM10 juta daripada Erfan
Norizam tak terdesak jual Kelantan FC
Erfan, Zamsaham tandatangan perjanjian rahsia
Pelabur baharu Kelantan FC 'orang bola'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!