UMNO Kedah yakin Ahmad Zahid bina semula parti
ALOR SETAR - Keputusan Mesyuarat UMNO Negeri Kedah yang memberi sepenuh keyakinan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO tepat sekali gus dapat menolak sebarang usaha untuk melemahkan semangat parti.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, parti tersebut kini di dalam fasa untuk memperbaiki dan membina semula parti UMNO.
Menurutnya, pendirian UMNO Kedah adalah jelas menolak usaha melemahkan semangat parti melalui desakan mengetepikan atau memaksa Ahmad Zahid meletak jawatan tanpa menggunakan saluran demokrasi yang betul.
“Sekarang ialah masa untuk membina semula parti dan proses untuk membina semula UMNO harus digalas dan dilaksanakan secara kolektif oleh segenap lapisan kepimpinan daripada peringkat pucuk pimpinan pusat sehinggalah ke peringkat bahagian serta cawangan di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata demikian menyambut baik dan menyokong keputusan Mesyuarat UMNO Negeri Kedah oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang memberi sepenuh keyakinan terhadap Ahmad Zahid selaku presiden parti itu.
Shaiful yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, PKR sebagai contoh sebuah parti politik yang matang dan kembali memperkukuhkan parti bersama ahli-ahli yang masih setia yang kemudiannya bangkit untuk menerajui semula negara.
“PKR juga mengalami proses pembersihan parti besar-besaran setelah siri pengkhianatan oleh kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membawa ribuan ahli parti untuk turut juga keluar daripada parti.
“Justeru itu, adalah penting untuk UMNO kembali stabil dan supaya Datuk Seri (Ahmad Zahid) kekal sebagai Presiden UMNO dalam tempoh usaha memperkukuhkan kembali UMNO di pentas politik dan pentadbiran negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!