PRK: 'Peluang kali ini lebih cerah' - Mohd Mazri
JOHOR BAHRU - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya menjelaskan, keputusannya bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) bukan untuk mencari kekayaan atau kekuasaan.
Sebaliknya kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu, beliau bersetuju menjadi calon selepas parti mahukannya bertanding lagi selain mahu berkhidmat kepada masyarakat di Simpang Jeram.
"Saya tiada niat nak tanding PRK tapi sebagai ahli Pas dan AJK Pas Pusat selain mengikut arahan kepimpinan parti untuk bertanding di Simpang Jeram.
"Pada mulanya perasaan itu berbelah bagi tapi atas dasar tanggungjawab kepada parti, saya rasa perlu (bertanding), Insya-ALLAH akan cuba sempurnakan amanah ini.
"Mudah-mudahan masyarakat di Simpang Jeram dapat menerima saya dan cuba sumbang yang terbaik kepada masyarakat Simpang Jeram," katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Mohd Mazri sebagai calon DUN Simpang Jeram manakala Zulkifli Jaafar sebagai calon di Parlimen Pulai.
Pengumuman itu dilakukan di Bilik Gerakan Utama PN Pulai, Kempas di sini pada Khamis yang turut dihadiri Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali, Presiden Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.
Mengulas lanjut, Mohd Mazri, 54, berkata, PN melihat peluang gabungan politik tersebut untuk menang PRK tersebut adalah lebih cerah.
Beliau yang pernah bertanding di kerusi DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menentang Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ini kerana suasana politik sebelum ini dan PRK amat berbeza.
"Dia punya suasana berbeza, PRU14, PRU15 berbeza dengan PRK. PRK ini jauh berbeza. Mudah-mudahan dengan suasana berbeza ini dapat kekalkan suasana dan momentum PN di Johor," katanya.
Sementara itu, Zulkifli, 50, berkata, pihaknya melihat tiada apa yang mustahil untuk menang di Parlimen Pulai.
"Kita kena kerja kuat, tiada apa yang tak boleh dapat kalau kerja kuat. Insya-ALLAH kita akan berusaha bersungguh-sungguh," ujar beliau.
ARTIKEL BERKAITAN:
PRK: Zulkifli, Mazri calon PN Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!