PEKB: RM10 juta bimbing B40 bandar usahakan perniagaan
PUTRAJAYA - Sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) tahun ini untuk membimbing golongan B40 di kawasan bandar mengusahakan perniagaan yang mampu meningkatkan kualiti hidup mereka.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu yang diselia Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) ketika ini dimanfaatkan oleh 835 peserta program latihan keusahawanan PEKB.
"Latihan yang diberikan bertujuan meningkatkan kemahiran peserta supaya mampu mengusahakan perniagaan bagi menghasilkan pendapatan lebih tinggi, sekali gus dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.
"Melalui PEKB, kita mahu pupuk budaya berdiri di atas kaki sendiri dengan mengusahakan perniagaan selepas mendapat bimbingan daripada tenaga pengajar program berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Merdeka Usahawan Komuniti Bandar 2023 di sini pada Rabu.
Sejak dilaksanakan pada 2013, program itu telah melahirkan 16,515 usahawan yang mengusahakan pelbagai jenis perniagaan dan mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM600 sebulan.
Menurutnya, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan memperuntukkan RM55 juta bagi melahirkan 4,835 usahawan B40 di kawasan bandar melalui PEKB.
"Kita bekerjasama dengan 28 badan bukan kerajaan (NGO) untuk latih dan pantau aktiviti perniagaan usahawan ini. NGO akan pantau aktiviti perniagaan mereka selama enam bulan bagi memastikan peserta dapat menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM600 sebulan,” katanya menambah peserta juga diberikan peralatan perniagaan setelah tamat kursus.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia, Fully Chye, 56, berkata, pihaknya menyediakan latihan kepada peserta yang berminat untuk menghasilkan produk fabrik cetakan eko berasaskan tumbuh-tumbuhan.
"Usahawan yang berminat dengan seni kreatif ini akan diajar cara cetakan atas fabrik dengan menggunakan daun. Kami akan bimbing hingga peserta betul-betul mahir dan dapat hasilkan produk berkualiti untuk dijual.
"Setakat ini, terdapat peserta yang berjaya menjana pendapatan RM3,000 sebulan melalui produk ini,” katanya.
Menurutnya, fabrik cetakan eko mempunyai tarikan tersendiri kerana setiap corak cetakan di atas fabrik menggunakan helaian daun yang menghasilkan warna asli tanpa bahan tambahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!