Taman tema air jadi pilihan pelancong
ALOR GAJAH - Taman tema air di Melaka merupakan salah satu tarikan pengunjung domestik dan antarabangsa sekali gus menyumbang kepada sasaran 20 juta pelancong pada tahun depan
Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Melaka, Jeffri Munir berkata, pihaknya mendapati taman tem air seperti di A'Famosa Resort menjadi pilihan utama pelancong selain pelbagai jenis lokasi berasaskan air.
Menurutnya, melihat permintaan itu tidak mustahil wujud pembinaan taman tema air baharu negeri ini, selain inisiatif pemain industri termasuk pengusaha hotel dan resort menambahkan kemudahan pembinaan taman tema air sebagai usaha tarikan pelancong.
"Destinasi pelancongan berasaskan air semakin digemari pelancong, maka tidak hairan banyak hotel menambahkan kemudahan kolam mandi mahupun taman tema air untuk meningkatkan jumlah pengunjung di tempat mereka.
"Apapun ia satu persaingan positif dan pelancongan berasas air menjadi satu yang penting dan utama kepada pelancong usaha mereka mewujudkan atau menambahkan kemudahan tersebut sebagai tanda menyokong hasrat kerajaan negeri untuk memperhebatkan Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM 2019)," katanya.
Jeffri Munir berkata demikian selepas merasmikan Program ‘Play & Win’ di A Famosa Resort, Alor Gajah.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Ratna Sdn Bhd, Datuk Julian Lau dan Pengurus Besar A'Famosa Resort, Robert Na.
Menurutnya, penganjuran berkenaan sebagai salah satu usaha menghargai sokongan pengunjung sejak 25 tahun lalu.
Malah katanya, pusat berkenaan yang terletak berhampiran Tol Simpang Ampat, Alor Gajah turut membantu kemasukan pelancong luar seperti Singapura datang ke Melaka.
Pada program itu seorang pengunjung dari Selangor membawa pulang sebuah kereta Proton Saga bernilai RM50,000, selain beberapa hadiah sampingan kepada pengunjung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!