'Usah perbesar isu remeh, tumpu isu wanita lebih serius' - Sanusi

Muhammad Sanusi (tengah) ketika sidang akhbar di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Muhammad Sanusi (tengah) ketika sidang akhbar di Wisma Darul Aman pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyindir sesetengah pihak yang memperbesarkan isu remeh, sedangkan banyak lagi isu wanita yang harus diberikan perhatian.

Beliau berkata, gurauan membabitkan dirinya sering disalah tafsir pihak tertentu sehingga apa sahaja yang dilakukannya dianggap suatu kesalahan.

Menurutnya, perkara kecil yang tak berfaedah tidak seharusnya dipanjangkan lagi kerana pihak yang terlibat sedikit pun tidak berhadapan masalah dengan dirinya.

“Jangan perbesarkan hal remeh. Isu remeh tinggal lah, kerja lain lagi banyak. Benda dah selesai pun. Saya bukan buat salah apa, yang menyalahkan peristiwa itu pihak lain. Saya dengan keluarga itu tiada masalah,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama selepas pembentukan kerajaan negeri, di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video tular berdurasi 18 saat menunjukkan beliau bergurau kasar dengan memukul kepala seorang wanita menggunakan kertas mendapat perhatian warganet.

Kejadian tersebut turut disambut gelak tawa orang sekeliling yang menganggap ia sebagai jenaka biasa.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz menyifatkan tindakan Muhammad Sanusi berbuat demikian sebagai tidak beradab.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi mempertahankan tindakannya itu pada Sabtu, dengan menyifatkannya sebagai gurauan untuk menegur pelajar berkenaan kerana lambat memohon bantuan.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, keluarga kepada pelajar perempuan berkenaan meminta orang ramai tidak mensensasikan perkara tidak betul tentang kejadian pada Sabtu lepas. Pengguna akaun TikTok, MCSyalwa dipercayai ibu pelajar terbabit tegaskan, mereka sekeluarga tiada masalah dengan insiden tersebut.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mempersoalkan tindakan Amira Aisya yang cuba memperbesarkan isu remeh memandangkan pemimpin itu sepatutnya memberi tumpuan kepada isu wanita yang lebih besar.

“Apa yang Sanusi buat semua nak dijadikan salah kan, cukup setakat itu. Orang tu tak ada apa-apa mereka yang lebih-lebih. Orang lain mandi, orang lain basah. Orang lain makan, orang lain kenyang. Orang lain tidur, orang lain lena. Tak betul tu,” sindirnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu turut menasihatkan agar pemimpin terbabit mencari isu wanita di ibu negara yang perlukan pembelaan.

“Jangan ambil semua tugas orang. Yang buat aduan pun tinggal di Kuala Lumpur, sana lagi banyak masalah. Masalah wanita paling besar di Kuala Lumpur lah dengan tekanan hidup, masalah sosial, wanita dieksploitasi, pengabaian wanita, penderaan. Yang mai kacau kes hentak kertas atas kepala, apa punya kerja,” katanya sinis.

Menurutnya lagi, pemimpin politik seharusnya membantu membangunkan masyarakat, bukan memperbesarkan hal-hal remeh.

“Tanggungjawab kita banyak. Jadi bawalah dunia ini ke arah pembangunan dan kemajuan, ia lebih bermanfaat,” tegasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Gurauan Sanusi pukul kepala sangat tidak beradab - Amira Aisya

Gurau pukul kepala: Wanita PKR gesa Sanusi mohon maaf

'Lepuk dengan sehelai kertas, bukan kayu' - Sanusi

'Jangan sensasikan gurauan MB Kedah, anak kami baik saja' - Ibu gadis kena lepuk

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!