Aktifkan 'kelab satu peratus' bagi basmi miskin tegar - YBK

Zainal Abidin (duduk depan, empat dari kanan) bergambar bersama peserta dari pelbagai agensi ketika sidang media Sesi Meja Bulat `Menoktah Kemiskinan - Peranan Sektor Ketiga’ di Ibu Pejabat Yayasan Basmi Kemiskinan Kelana Jaya pada Rabu. - Foto Bernama
Zainal Abidin (duduk depan, empat dari kanan) bergambar bersama peserta dari pelbagai agensi ketika sidang media Sesi Meja Bulat `Menoktah Kemiskinan - Peranan Sektor Ketiga’ di Ibu Pejabat Yayasan Basmi Kemiskinan Kelana Jaya pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A
PETALING JAYA - Kerajaan disaran mengaktifkan semula cadangan mewujudkan ‘kelab satu peratus’ sebagai ikhtiar membasmi kemiskinan tegar di negara ini, kata Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom.

Beliau berkata, saranan tersebut merupakan antara resolusi yang dicapai menerusi Sidang Meja Bulat Menoktahkan Kemiskinan: Peranan Sektor Ketiga yang diadakan pada Rabu.

Katanya, cadangan tersebut telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1996 semasa beliau memegang jawatan Menteri Kewangan, namun pelaksanaannya tidak dapat diteruskan pada ketika itu.

"Ikhtiar membasmi kemiskinan ini memerlukan dana yang besar, jadi kita mencadangkan sinergi antara pemain sektor swasta dalam menyumbangkan dana secara kolektif bagi tujuan mendapatkan pendanaan untuk inisiatif menoktahkan kemiskinan.

"Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat luar negara yang beroperasi di Malaysia ini, kita akan minta mereka meletakkan satu peratus daripada keuntungan ke dalam satu tabung yang dijaga kerajaan dan dengan itu semua badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan yang ingin berusaha membasmi kemiskinan, mereka (kerajaan) boleh memberikan dana berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sidang meja bulat tersebut berakhir di ibu pejabat YBK di sini, pada Rabu.

Menurutnya lagi, cadangan tersebut satu pendekatan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan bagi menunjukkan penglibatan usahawan dalam usaha untuk membasmi kemiskinan tegar.

Menurut YBK, berdasarkan rekod ketika ini terdapat kira-kira 118,000 orang miskin tegar di negara ini.

Dalam pada itu, 14 resolusi berjaya dicapai pada sidang meja bulat tersebut yang disertai wakil daripada 50 organisasi termasuk Lembaga Zakat Selangor, NGO dan ahli akademik.
Artikel Berkaitan:


Zainal Abidin berkata kesemua resolusi itu akan dibentangkan dalam satu konvensyen sempena Hari Pembasmian Kemiskinan Sedunia pada 17 Okt ini di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!