PN hantar isyarat kepada kerajaan Persekutuan jika menangi PRK
JOHOR BAHRU - Perikatan Nasional (PN) akan menghantar isyarat kepada kerajaan Persekutuan jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini.
Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin berkata, keyakinan untuk menang bertambah kukuh apabila gelombang rakyat menyokong PN sudah semakin terasa di negeri ini seperti yang berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.
"Gelombang PRN di enam negeri akan benar-benar sampai ke Johor, dulu-dulu hanya sampai angin sepoi-sepoi bahasa ke Melaka dan Johor (semasa PRN di dua negeri tersebut).
"Sekarang Insya-ALLAH akan sampai ke Pulai dan Simpang Jeram. PN yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) dan Pas tekad memperoleh kemenangan di Pulai dan Simpang Jeram.
"Kita akan 'all out' (bersungguh-sungguh) buat kerja semaksimum mungkin untuk pastikan kemenangan di dua tempat ini. Kita usaha ikhtiar, laksana segala tuntutan perjuangan, syarat-syarat menang dan seumpamanya, kita berdoa dan bertawakal pada ALLAH," ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PN bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Bilik Gerakan Utama PN Pulai, Kempas di sini pada Khamis.
Turut hadir Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau yang juga Timbalan Pengerusi PN, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali dan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan Zulkifli Jaafar sebagai calon PN di Parlimen Pulai dan Dr Mohd Mazri Yahya sebagai calon DUN Simpang Jeram.
Sementara itu, Dr Sahruddin mahu semua semua pihak berganding bahu dan mendekati pengundi untuk menyampaikan mesej pentingnya mengundi PN.
Bekas Menteri Besar Johor itu turut mengakui gelombang rakyat terhadap PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan PRN sudah sampai di negeri ini.
Dalam pada itu, Dr Dominic Lau berkata, di Parlimen Pulai terdapat 43 peratus pengundi Melayu, 40 peratus pengundi Cina dan 12 peratus pengundi Cina.
Selain itu, beliau melihat isu berkaitan calon sudah selesai dan adalah penting untuk semua pihak dalam gabungan itu memberi sokongan penuh ketika berkempen nanti.
ARTIKEL BERKAITAN:
PRK: Zulkifli, Mazri calon PN Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram
PRK: 'Peluang kali ini lebih cerah' - Mohd Mazri
Gelombang PN bakal beri impak besar di Johor - Muhyiddin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!