Remaja lelaki maut digilis treler
HULU SELANGOR - Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah treler di kilometer 37 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, dalam kejadian pada jam 1.45 petang itu, mangsa berusia 17 tahun menunggang motosikal jenis Comel dalam perjalanan dari sebuah sekolah menengah ke stesen minyak.
"Mangsa dari sekolah tersebut menggunakan jalan belakang untuk pergi mengisi minyak motosikal, namun kemalangan berlaku kira-kira 200 meter menghala ke stesen minyak itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ahmad Faizal berkata, siasatan awal, mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu treler berusia 30 tahun dalam perjalanan dari Batang Kali ke Kuala Lumpur.
"Sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal dari simpang di sebelah kiri terlanggar bahagian tengah treler lalu terjatuh dan digilis tayar belakang kenderaan terbabit," katanya.
Ahmad Faizal berkata, mangsa cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini boleh tampil untuk membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!