Guru penghidap kanser di San Francisco bayar kos guru ganti
LOS ANGELES - Ibu bapa di sebuah sekolah rendah di San Francisco melahirkan rasa marah apabila mengetahui seorang guru yang juga penghidap kanser terpaksa menanggung bayaran untuk guru ganti.
Seorang guru di Sekolah Rendah Glen Park, yang bercuti sakit ekoran penyakit kanser payudara yang dihidapinya terpaksa membayar hampir AS$200 (RM830) sehari untuk penggantinya.
Jurucakap sekolah daerah San Francisco, Laura Dudnick bagaimanapun berkata, pembayaran tersebut bukan sesuatu yang baru dan ia selari dengan undang-undang negeri.
Dudnick menjelaskan, guru yang berkhidmat dalam daerah berkenaan diberikan 10 hari cuti sakit dalam setahun dan dibenarkan membawa ke depan baki cuti yang tidak digunakan.
Sekiranya kesemua cuti sakit tersebut telah habis digunakan, guru layak mendapat 100 hari cuti sakit tambahan selain mendapat gaji bersih setelah ditolak kos untuk pengganti.
Difahamkan setelah mendapat tahu tentang peruntukan tersebut, para ibu bapa mengambil keputusan untuk mengumpul wang buat guru veteran berkenaan yang telah berkhidmat selama 17 tahun.
Dana yang dikumpul menerusi saluran GoFundMe telah mengumpul hampir AS$14,000 (RM58,157) sejak ia dimulakan pada bulan lalu.
Menurut ibu bapa pelajar, guru tersebut telah mendidik anak mereka dengan baik dan kini masa untuk membalas jasanya. -AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!