Bomba kesan kebocoran bahan kimia di kilang di Jalan Pekeliling
PASIR GUDANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesan berlaku kebocoran bahan kimia jenis styrene monomer di sebuah kilang di Jalan Pekeliling di sini, petang Rabu.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Sarhan Akmal Mohamad berkata, operasi tersebut melibatkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dan lapan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Larkin.
Beliau berkata, BBP Pasir Gudang menerima maklumat berhubung pencemaran bau di kawasan tersebut pada jam 5.21 petang.
"Hasil pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran bahan kimia pada injap saluran bahan kimia yang berada di kilang itu.
"Bantuan pasukan Hazmat diperlukan untuk menutup saluran tersebut. Operasi masih berjalan dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu JBPM Johor meminta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu yang tular di media sosial, kerana boleh menggugat ketenteramam awam serta menimbulkan kerisauan kepada penduduk setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!