Tang Jie-Ee Wei bergaya ke pusingan ketiga di Denmark
BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan perjalanan ke pusingan ketiga dalam Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark pada Rabu.
Dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Royal Arena mereka mengalahkan Lee Chun Hei-Ng Tsz Yau dari Hong Kong menerusi kemenangan 21-19, 21-9 dalam masa 36 minit.
Biarpun dipaksa bekerja keras pada set pertama menerusi saingan sengit pasangan lawan, namun beregu nombor 17 dunia itu tampil dengan aksi lebih kemas di set kedua sebelum menang mudah 21-9.
Ini merupakan kemenangan kedua beregu negara ke atas Chun Hei-Tsz Yau setelah aksi pertama pada Terbuka Singapura Jun lalu turut memihak Tang Jie-Ee Wei.
Menanti Tang Jie-Ee Wei di pusingan ketiga ialah pilihan ketujuh kejohanan dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue yang mengalahkan Marcus Ellis-Lauren Smith dari England 21-18, 21-13.
Turut mara ke pusingan ketiga pada Khamis adalah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang akan membuat perhitungan dengan pilihan kelapan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!