'Ayah meninggal di hospital bukan ketika solat di masjid'

Tangkap layar yang dimuat naik pengguna TikTok di aplikasi berkenaan pada Selasa.
Tangkap layar yang dimuat naik pengguna TikTok di aplikasi berkenaan pada Selasa.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] "Sebenarnya ayah meninggal dunia di hospital bukan ketika solat di masjid," kata Nor Atikah Abd Rahman, 34, selepas tular di platform TikTok mendakwa seorang lelaki meninggal dunia ketika solat Asar di sebuah masjid di daerah ini.

Ujar Nor Atikah, ayahnya, Abd Rahman Rapie, 64, yang juga seorang pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada Isnin selepas pengsan di Masjid Paya Luas pada Sabtu lalu.

Jelas anak kedua daripada enam beradik itu, ayahnya dikejarkan ke hospital selepas mengalami pendarahan otak.

"Sebelum ini arwah ayah sudah ada penyakit darah tinggi dan tidak sangka perkongsian video hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di Facebook saya tular.

"Bila dapat tahu tular, saya terkejut kerana tajuk yang dimuat naik oleh individu itu menimbulkan kekeliruan dan salah faham hingga ada sesetengah warga net menyalahkan jemaah dan warga masjid lambat memberikan pertolongan," kata wanita itu kepada Sinar Harian pada Khamis.

Allahyarham Abd Rahman (kanan).
Allahyarham Abd Rahman (kanan).

Ujarnya yang bekerja sebagai kerani, situasi tersebut menyebabkan dia dan keluarga terutama ibunya risau ia boleh menjejaskan imej masjid berkenaan.

"Sedangkan dalam hantaran saya sebelum ini, saya amat-amat menghargai bantuan yang diberikan oleh warga masjid yang banyak membantu serta menghantar arwah ayah ke hospital.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap dengan penjelasan ini dapat memperbetulkan kekeliruan yang timbul susulan penularan video tersebut," kata Nor Atikah.

Menurutnya, ayahnya menjadi kontraktor selepas bersara dan setiap hari solat di masjid.

Malah katanya, arwah pernah menyatakan teringin meninggal dunia di masjid.

"Arwah ayah tegas bab agama lagi-lagi bab solat jemaah di masjid bagi anak lelaki. Zikir, tasbih sentiasa di tangan. Setiap pagi sebelum Subuh dia akan bangun awal untuk ke masjid dan akan mengetuk semua pintu bilik anak-anak, panggil untuk bangun solat berjemaah di masjid.

"Arwah ayah tiada tunjuk sebarang perubahan sikap cuma sebelumnya dia cakap nak berehat dari syarikat dan serahkan segala urusan syarikat pada adik lelaki...nak tumpu untuk ibadah dan kehidupan yang tak terikat dengan tekanan kerja," jelas Nor Atikah.

Difahamkan Allahyarham Abd Rahman suka bersedekah dan terbabit dalam pembaikan serta pengubahsuaian Masjid Paya Luas tanpa sebarang bayaran.

Terdahulu, tular satu rakaman CCTV memaparkan seorang jemaah lelaki dilihat seakan-akan terkaku ketika berada dalam keadaan duduk tahiyat akhir.

Dalam rakaman berdurasi tiga minit empat saat itu menunjukkan beberapa jemaah lain cuba membantu, namun lelaki itu kemudiannya rebah dan didakwa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Perkongsian video tersebut mendapat pelbagai reaksi warga net dan membanjirinya dengan ucapan takziah atas pemergian individu tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!