Ketua, komander kanan Wagner dalam pesawat terhempas di Rusia
MOSCOW - Ketua kumpulan Wagner, Yevgeny Prigozhin dan komander kanan beliau, Dmitry Utkin berada di dalam sebuah pesawat yang terhempas di Rusia tanpa ada mangsa yang selamat.
Agensi kerajaan Rusia yang bertanggungjawab ke atas penerbangan awam, Rosaviatsiya sebelum ini hanya berkata Prigozhin disenaraikan dalam senarai penumpang pesawat itu.
Tetapi pada Rabu malam, agensi tersebut memberikan nama semua tujuh penumpang dan tiga orang anak kapal yang dikatakan berada dalam pesawat Embraer tersebut ketika ia terhempas berdekatan Moscow beberapa jam sebelumnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Namun begitu, Rosaviatsiya mahupun mana-mana pegawai Rusia yang lain masih belum menyatakan dengan tegas bahawa Prigozhin telah terbunuh.
Saluran Telegram Grey Zone, yang berkaitan dengan Wagner menyatakan Prigozhin telah meninggal dunia.
Rosaviatsiya berkata, pesawat itu dalam perjalanan dari Moscow ke St Petersburg dan terbang "mengikut permit penerbangan yang dikeluarkan mengikut urutan yang betul".
Agensi itu berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca nahas.
Agensi Berita TASS Russia melaporkan tiada kematian dilaporkan di lapangan. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
Pesawat terhempas, 10 penumpang termasuk anak kapal maut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!