Pembantu dihalang iringi Presiden Xi Jinping
JOHANNESBURG - Seorang anggota delegasi Presiden China, Xi Jinping telah dihalang daripada mengiringi pemimpin itu selepas pegawai keselamatan Afrika Selatan menutup pintu semasa Sidang Kemuncak BRICS di Johannesburg.
Insiden itu yang sempat dirakam lensa kamera menjadi tular selepas ia dimuat naik laman media sosial.
Rakaman video berdurasi kurang satu minit itu jelas menunjukkan anggota delegasi tersebut dipercayai penterjemah kepada Jinping dihalang dan ditarik daripada memasuki dewan utama Pusat Konvensyen Sandton.
Sebelum pintu tersebut ditutup, pegawai China itu dilihat cuba mengejar Jinping yang berjalan seorang diri di hadapan.
Bunyi pergelutan jelas kedengaran dengan Jinping beberapa kali menoleh ke belakang sebaik pintu ditutup.
Pihak berkuasa China dan Afrika Selatan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan.
Sidang kemuncak BRICS diadakan dari 22 hingga 24 Ogos di Johannesburg dengan lebih 40 pemimpin asing mengambil bahagian.
Kesatuan itu merangkumi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan. Ia kini menyasarkan untuk menjadi “BRICS plus” dan menerima ramai ahli baharu.
Selain Jinping, Luiz Inacio Lula da Silva (Brazil), Cyril Ramaphosa (Afrika Selatan) dan Perdana Menteri India Narendra Modi turut menghadiri sidang kemuncak itu.
Presiden Rusia Vladimir Putin pula diwakili oleh Menteri Luar Sergei Lavrov.
Bagaimanapun Putin dijadual akan mengambil bahagian dalam sidang kemuncak itu melalui pautan video. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!