Exco baharu Selangor tekad beri perkhidmatan terbaik
SHAH ALAM - Exco Selangor yang baharu dilantik tekad memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri ini bagi memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan penuh komited dan tanggungjawab.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim berkata, pelantikan itu membuktikan satu pengiktirafan kerajaan negeri terhadap pengundi yang memilih Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Utara Selangor.
Menurut beliau, pemilihan beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail diyakini dapat memberikan perkhidmatan terbaik terutama di kawasan Utara Selangor.
"Kerajaan negeri memberi tumpuan kepada anjung utara kerana di sini terdapat Rancangan Selangor Pertama (RS-1) meliputi projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA).
"Saya dan Rizam akan selaras dan perkemaskan lagi pembangunan projek SABDA sepanjang tempoh lima tahun dalam penggal ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Suee Lim yang juga ADUN Sekinchan berkata, Utara Selangor yang tertumpu kepada agropelancongan perlu dibangunkan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan, kemudahan infrastruktur lebih kemas dan tersusun serta mampu setara dengan pembangunan di daerah lain.
"Saya dan pasukan akan menggunakan pengalaman yang ada (di Sekinchan) ini untuk bekerjasama erat dengan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya)," jelas beliau.
Selain itu, katanya, tumpuan portfolio juga diberi penekanan terhadap meningkatkan kualiti perkhidmatan dan sistem penyampaian di semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Katanya, tumpuan juga diberi kepada usaha-usaha bagi meningkatkan lagi hasil kutipan dan penyediaan rancangan tempatan di setiap PBT.
Bagi Exco Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Ekonomi Penjagaan, Anfaal Saari berkata, pelantikan itu disifatkan sebagai satu tanggungjawab yang harus dipikul terutama dalam meneruskan kecemerlangan bekas Exco, Dr Siti Mariah Mahmud sebelum ini.
Katanya, perancangan teliti dan hala tuju jelas perlu dilaksanakan terutama dalam mengambil kira suasana dan cabaran baharu ekonomi dan dunia digital pada masa kini.
"Saya bukan bermula dengan kosong kerana Exco (Pemberdayaan wanita) daripada Amanah (Parti Amanah Negara) telah meninggalkan satu landasan tepat dan fokus saya untuk melihat ke arah empat atau lima tahun ke depan.
"Saya kira cabaran ini besar kerana ia pengalaman baru, tetapi kerja-kerja dan tugas asas yang ditinggalkan dengan sempurna ini akan diteruskan dan ditambah baik di samping mengkoordinasi usaha dan merangka inisiatif dengan semua agensi kerajaan," tambah ADUN Taman Templer.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Industri Halal, Infrastruktur Digital serta Pembiayaan Sains, Teknologi, Inonvasi (STI), Dr Mohammad Fahmi Ngah pula berkata, amanah yang digalas beliau akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Ujar beliau, secara asasnya, banyak program pendigitalan dilaksanakan kerajaan negeri selain memberi tumpuan bagi memperkenalkan penggunaan aplikasi baharu untuk rakyat.
"Dari segi bidang kuasa hal ehwal Islam pula, banyak perkara perlu dirujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa negeri seperti MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) dan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) kerana punca kuasa ada pada agensi terbabit.
"Contohnya, melibatkan isu pemutihan tahfiz yang mempunyai SOP (prosedur operasi standard) dan syarat-syarat yang telah ditetapkan kepada semua pengusaha tahfiz bagi memastikan keselamatan dan nyawa pelajar tidak terancam jika mengikut garis panduan yang telah ditetapkan," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!