37 bekas pekerja pembinaan JRTB terima momento kenangan
GERIK - Seramai 37 bekas pekerja pembinaan Jalan Raya Timur Barat (FT004) menerima momento kenangan bagi mengenang kembali jasa dan pengorbanan pekerja pembinaan laluan itu yang terkorban akibat serangan pengganas komunis.
Momento kenangan yang pertama kali diberikan kerajaan itu disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai simbolik menghargai jasa bakti yang telah dicurahkan pada Program Setia Bakti Jalan Raya Timur Barat (FT004) di Jeti Awam Pulau Banding di sini hari ini.
Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian saguhati RM1,000 kepada 87 keluarga bekas pekerja pembinaan Jalan Raya Timur Barat (FT004) yang terkesan akibat serangan pengganas komunis.
Program berkenaan diadakan Kementerian Kerja Raya (KKR) sempena ulang tahun Hari Kebangsaan ke-66 di bawah lembayung Kempen MyJalan yang merupakan platform advokasi dan pendedahan kepada pengguna jalan raya tentang penyenggaraan jalan raya sedia ada.
Pada 21 Mei 1974, satu serangan pengganas komunis telah merosakkan puluhan unit jentera berat dan pada 27 Ogos 1974, seramai tiga petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) telah terbunuh semasa bekerja untuk membina laluan ini dan ratusan warga unit keselamatan telah gugur antara tahun 1968 hingga 1989 semasa pembinaan jalan raya ini dilaksanakan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan laluan ini yang juga merupakan ‘Lebuhraya Pertahanan’ yang dibina sebagai satu daripada strategi melumpuhkan pergerakan pengganas komunis pada era pasca kemerdekaan Tanah Melayu pada 1970.
"Usaha ini tidak mudah, yang menyaksikan pasukan JKR diserang oleh komunis, mengorbankan tiga nyawa dan meninggalkan kecederaan kekal kepada pasukan JKR lain yang turut terlibat.
"Kerja pembinaan diteruskan, walaupun kesan serangan masih terkesan kepada semua. Inilah jasa Setia Bakti pasukan JKR, perwira yang tidak dijulang," katanya dalam ucapan pada Pelancaran Kempen MYJalan KKR.
Katanya, bagi mengenang jasa warga JKR, Program Setia Bakti diangkat oleh kementerian bagi menghargai pengorbanan mereka serta menyemarakkan semangat patriotisme dan diharapkan akan membakar semangat warga kementerian dan JKR khususnya, untuk terus menabur bakti kepada rakyat dan negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!