Lakukan 'gencatan politik', tumpu selesai masalah rakyat
SHAH ALAM - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili pelbagai kepentingan menggesa supaya semua pihak melakukan 'gencatan politik' serta memberi tumpuan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat terutamanya dalam memulihkan semula ekonomi negara.
Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, wakil rakyat sama ada di pihak kerajaan dan pembangkang perlu segera berhenti bermain politik kerana masih banyak isu rakyat yang perlu ditangani.
Menurutnya, rakyat telah menjalankan tanggungjawab memilih pemimpin yang diingini dan kini tiba masanya untuk mereka memberikan khidmat terbaik.
"ABIM menekankan bahawa kestabilan politik dan ekonomi sangat penting. Jadi, semua pihak perlu elak sebarang usaha atau gerakan untuk menjatuhkan kerajaan tertentu di luar kerangka pilihan raya.
"Ia penting untuk mengelak sebarang ketidaktentuan (dalam negara) yang akhirnya boleh merugikan semua pihak, sedangkan rakyat mengharapkan permasalahan mereka ditangani, bukan parti-parti bermain politik," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar semua wakil rakyat di negeri ini berhenti bermain politik sebaliknya memberi tumpuan dalam menyelesaikan masalah rakyat, termasuk usaha memulihkan semula ekonomi.
Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut menyuarakan pandangan sama kerana rakyat kini terhimpit dengan pelbagai masalah khususnya beban kos sara hidup yang tingggi.
Presidennya, Ahmad Farhan Rosli berkata, tindakan segelintir pemimpin yang berterusan bermain politik bukan sahaja mewujudkan perpecahan lebih besar tetapi turut tidak menyelesaikan isu rakyat.
"Pilihan raya negeri (PRN) yang dinanti-nanti selama ini telah berakhir dan sekarang ini waktu untuk (wakil rakyat) bekerja serta berikan khidmat terbaik kepada rakyat seperti yang dijanjikan dalam manifesto masing-masing (ketika kempen pilihan raya).
"Sebagai contoh di Selangor sendiri, rakyat mengharapkan kerajaan segera pulihkan ekonomi serta permasalahan lain antaranya banjir, longkang tersumbat dan sebagainya yang tidak selesai lagi sehingga kini," katanya.
Ujarnya, wakil rakyat kerajaan dan pembangkang harus mencari titik persamaan iaitu bekerja untuk rakyat dengan mengenepikan politik kepartian demi kepentingan tertentu.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa), Wan Azliana Wan Adnan berpandangan, dalam situasi tertentu 'bermain' politik diperlukan untuk memastikan hak rakyat dipenuhi.
Bagaimanapun katanya, wakil rakyat kerajaan atau pembangkang harus melihat bahawa isu politik yang di bawa itu berteraskan kepentingan rakyat.
"Bagi saya, kalau pemimpin politik itu bersuara atas kapasiti wakil rakyat mewakili parti tidak salah kerana tindakan sedemikian adakalanya perlu sebagai proses untuk menegur supaya pentadbiran berjalan lebih baik.
"Namun, kalau berpolitik kepartian yang tidak memberi kebaikan kepada rakyat, saya rasa tindakan seumpama itu harus dihentikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!