Perjuangan belum selesai, Aishah hantar writ sita

Aishah hanya menggunakan undang-undang untuk mendapat hak.
Aishah hanya menggunakan undang-undang untuk mendapat hak.
A
A
A

PERJUANGAN penyanyi Datuk Aishah untuk mendapatkan lot tanah banglo yang dimenanginya sebagai juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4) masih belum selesai.

Terbaharu, pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin telah menghantar writ saman penyitaan terhadap individu yang bertanggungjawab menyediakan hadiah terbabit.

Jelasnya, tindakan berasaskan undang-undang itu terpaksa dilakukan ekoran individu terbabit bersama dua rakan kongsi yang juga isteri dan anaknya, gagal menyelesaikan baki bayaran selepas writ penyitaan dihantar.

“Dua minggu lalu, kami dah hantar writ saman penyitaan. Namun, disebabkan tiada penyelesaian, kami datang untuk melelong barang-barang ini.

“Sekarang ini tak ada orang (di rumah) padahal, dia dah tahu, kan? Ini bukanlah perkara menyeronokkan," katanya yang hadir bersama peguam dan bailif mahkamah.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Janji Manismu itu berkata demikian dalam beberapa buah video yang dimuat naik menerusi akaun Instagramnya.

Tambah Aishah, 58, sebelum ini, individu terbabit beberapa kali mengusulkan pembayaran berjadual bagi melunaskan pembayaran.

Kes berkaitan tanah ini sudah berjalan sejak 2017.
Kes berkaitan tanah ini sudah berjalan sejak 2017.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun terma tersebut diingkari dan hanya pembayaran pertama dan kedua dilunaskan.

“Dipendekkan cerita, kami dapat persetujuan di hadapan mahkamah untuk pembayaran yang sudah dipersetujui kedua-dua belah pihak tapi sekiranya default payment (tak ikut arahan pembayaran) semuanya akan kembali kepada amaun asal yang dituntut iaitu RM300,000,” jelasnya.

Bukan terlalu menghadap hadiah yang dijanjikan, Aishah berkata, tindakan undang-undang ini adalah sebagai satu cara agar orang lain tidak terpedaya dengan janji manis.

“Kepada yang menganggap saya kejam sangat sampai menyita ketika dia sakit. Anda kena faham, kes ini bermula dari penghujung 2017.

“Kalau orang cakap saya terlalu ‘hadap’ sampai nak menyita, sebenarnya ini berkaitan prinsip. Kepada kawan-kawan, semua kena tahu bagaimana kita boleh gunakan undang-undang negara untuk dapatkan hak kita.

“Jangan kita biarkan orang memperkotak-katikkan kita, janjikan itu dan ini, kemudian habuk pun tak ada. Lari-lari dan buat kita seperti orang bodoh. Biar kes ini menjadi contoh dan saya akan berjuang sehingga ke penghujung. Insya-ALLAH,” tegasnya.

Sebelum itu, pada program realiti GV4 itu, Aishah dinobatkan sebagai juara dan dijanjikan hadiah wang tunai RM100,000 selain sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM6,000 berserta piala.

Bagaimanapun Aishah akhirnya mendedahkan tidak mendapat hadiah sebidang tanah seperti dijanjikan hampir setahun selepas program itu berakhir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!