Gajah dua beranak ancam suku Bateq Pos Lebir

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

GUA MUSANG - Masyarakat Orang Asli suku Bateq di Kampung Aring 5, Pos Lebir dekat sini mendakwa mereka berdepan ancaman gajah yang merosakkan rumah dan tanaman pendudukn sejak seminggu lepas.

Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang, 53, berkata, pada mulanya hanya seekor gajah betina muncul di penempatan tersebut mencari makanan, namun mamalia dipercayai bunting itu telah melahirkan seekor anak dan kerap menceroboh lokasi berkenaan bersama anaknya.

"Hari pertama gajah masuk kampung adalah pada 16 Ogos lepas, keesokan hari mamalia itu datang bersama anaknya.

"Pada hari ketiga gajah itu telah memecahkan cermin tingkap rumah penduduk dan memasukkan belalai dalam bahagian dapur rumah," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Aring 5 pada Khamis.

Menurutnya, gajah berkenaan turut merosakkan sebuah rumah buluh ketika sebuah keluarga berada dalam kediaman berkenaan namun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri.

"Penduduk kampung juga menyaksikan gajah terbabit menolak (merempuh) rumah buluh sebelum menuju ke kawasan kebun pisang setelah dihalau, lalu memusnahkan keseluruhan tanaman yang mengakibatkan kerugian RM700 hingga RM800 sebulan,” katanya.

Penduduk, Ghani Alang, 55, berkata, semenjak kehadiran haiwan liar itu, penduduk bukan sahaja tidak dapat keluar mencari durian di kebun malah tidak berani untuk tinggal di rumah buluh lagi.

"Kita takut hendak keluar mencari durian pada waktu malam kerana khuatir terserempak dengan gajah. Kalau boleh saya ingin gajah itu dihalau dengan cepat kerana saya sendiri melihat dua ekor gajah di depan mata dan berasa sangat takut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya telahpun melakukan siasatan di tempat kejadian susulan laporan diterima daripada penduduk kampung.

"Perhilitan akan memasang lampu LED biru, pada masa sama menyarankan penduduk untuk membuat unggun api dan membakar tayar di tepi rumah.

"Tembak halau telah dijalankan dan khidmat nasihat turut diberikan kepada penduduk agar tidak membuat provokasi kepada haiwan liar terbabit sekiranya terserempak, malah berusaha untuk menyelamatkan diri sekiranya bertembung dengan gajah itu," katanya.

Beliau berkata, kakitangan Perhilitan Daerah Gua Musang akan membuat pemantauan dan kawalan di dalam Kampung Aring 5 bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku kerana gajah tersebut membawa anak kecil dan tidak mahu bergerak ke kawasan hutan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!