Malaysia #QuranHour di Putrajaya sasar 3,000 peserta

Persiapan bagi penganjuran Malaysia #QuranHour yang dijadualkan berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya kini berada di peringkat akhir. Gambar kecil: Marhaini
Persiapan bagi penganjuran Malaysia #QuranHour yang dijadualkan berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya kini berada di peringkat akhir. Gambar kecil: Marhaini
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Persiapan bagi penganjuran Malaysia #QuranHour yang dijadualkan berlangsung di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya kini berada di peringkat akhir apabila sudah mencapai 70 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, bakinya 30 peratus lagi akan disiapkan dalam masa terdekat memandangkan masih tinggal beberapa hari sahaja sebelum program itu bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang, 30 Ogos 2023.

Katanya, setakat ini semua persiapan berjalan lancar dan selebihnya perlu mempergiatkan usaha untuk menjemput dan menguar-uarkan kepada orang ramai mengenai program tersebut.

"Dari segi kerjasama dengan media lain dan teknikal alhamdulillah semua dalam keadaan baik cuma kami perlu bekerja keras bagi mencapai target (sasaran) yang ditetapkan iaitu mencapai 3,000 peserta.

"Sekarang jumlah peserta berdaftar dengan kami adalah sebanyak 1,000 orang dan saya percaya jumlah tersebut akan bertambah. Kami turut mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO) agar program ini diketahui umum," jelasnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Tambah Marhaini, program Malaysia #QuranHour kali ini lebih mendekati golongan muda untuk menyertainya.

"Kali ini berbeza sedikit sebab kita bawa anak-anak muda namun tidak bermakna golongan yang lebih berusia diabaikan.

"Kita mahu kedua-dua kelompok itu bekerjasama menyampaikan mesej dan mengimarahkan program Malaysia #QuranHour. Fokus kepada anak muda mungkin sebab mereka lebih dari segi kekuatan tetapi tetap menghormati orang tua,"ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengharapkan ibu bapa menjadi ejen untuk sama-sama datang dan membawa anak-anak mereka bersama.

"Ibu bapa memainkan peranan yang sangat besar sebenarnya. Selain itu, saya turut berharap dan menyeru anak-anak muda agar tidak ketinggalan dalam menyertai program ini," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!