UMNO tanding atas tiket sendiri hanya pandangan peribadi - Azalina

Azalina ketika melepaskan konvoi 'Kelab Real Ladies Bikers' pada Majlis Pelancaran Semarak Malaysia Merdeka 66 Tahun Peringkat Parlimen Pengerang 2023 di Dewan Kejora Bandar Penawar pada Khamis. - Foto: Bernama
Azalina ketika melepaskan konvoi 'Kelab Real Ladies Bikers' pada Majlis Pelancaran Semarak Malaysia Merdeka 66 Tahun Peringkat Parlimen Pengerang 2023 di Dewan Kejora Bandar Penawar pada Khamis. - Foto: Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pandangannya berhubung UMNO bertanding atas tiket sendiri pada pilihan raya akan datang adalah pandangan peribadinya.

Ahli Parlimen Pengerang itu menyifatkan pandangan berkenaan tidak mewakili pendirian rasmi UMNO atau Barisan Nasional (BN) dan tidak sepatutnya menjadi isu kerana itu adalah haknya sebagai ahli UMNO dan tidak menjadi kesalahan baginya memberi pandangan.

"Saya tidak melihat itu sebagai pandangan rasmi UMNO tetapi pandangan saya sebagai ahli UMNO dan saya mewujudkan tiga senario (pada penulisan) itu, pada saya sebagai ahli UMNO.

"Di mana salahnya? Saya memberikan penulisan (pandangan) sebagai seorang yang sudah hendak dekat 60 tahun ini, saya mempunyai pandangan peribadi dalam politik dan itu hanyalah melambangkan pemikiran saya, juga soalan yang saya tanya pada diri saya sendiri," kata beliau kepada pemberita di Dewan Kejora, Bandar Penawar pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan MIC dan MCA berhubung pandangan Azalina supaya UMNO mempertimbangkan untuk bertanding sendiri pada pilihan raya akan datang.

Sebelum itu, Azalina melancarkan Majlis Semarak Malaysia Merdeka 66 tahun Peringkat Parlimen Pengerang di sini.

Pada Rabu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), menerusi Facebooknya pada Selasa lepas, mempersoalkan sama ada sudah tiba masanya UMNO bertanding atas tiket UMNO pada pilihan raya akan datang.

Beliau turut membangkitkan adakah parti itu pada masa akan datang masih lagi bertanding di bawah bendera BN atau pun di bawah BN dengan gabungan baharu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!