Banyak 'kerja rumah' buat Tze Yong
JURULATIH perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui masih banyak 'kerja rumah' yang perlu disudahkan oleh anak didiknya, Ng Tze Yong.
Ia susulan kekalahan pemain kelahiran Johor itu kepada pemain Denmark, Anders Antonsen dalam saingan pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen pada Rabu.
“Dia sudah mencuba yang terbaik dan ini adalah hasil terbaik yang boleh kami berikan pada masa ini.
“Masih banyak perlu diperbaiki dan kami akan cuba memberikan yang terbaik,” kata Hendrawan.
Dalam aksi di Royal Arena itu, Tze Yong kalah straight set 22-24, 16-21.
Hendrawan memberitahu, pemain berusia 23 tahun itu telah memberikan aksi yang optimum, namun pengalaman memisahkan antara mereka
“Tiada alasan kekalahan Tze Yong kerana dia tewas kepada lawan lebih baik yang lebih matang dan banyak pengalaman,” ujar Hendrawan.
Tze Yong sebelum itu cemerlang selepas mengalahkan wakil China yang juga pemenang pingat gangsa tahun lalu, Zhao Jun Peng 21-19, 26-24 di pusingan pertama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!