Jawi gerakkan kempen World #QuranHour 1440H
MUKADIMAH
Al-Quran adalah kalam ALLAH SWT yang harus menjadi teman paling akrab seseorang Muslim dalam mengemudi kehidupannya. Ternyata surah-surah di dalamnya jika dibaca, difahami dan diamalkan mampu memberi petunjuk, peringatan, ketenangan serta rahmat kepada sesiapa yang mendampinginya.
Pada tahun ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebagai Sahabah Al-Quran turut menyatakan sokongan kepada kempen Berinteraksi dengan al-Quran melalui Baca, Faham dan Amal melalui World #QuranHour yang akan diadakan pada 25 Ramadan 1440H bersamaan 30 Mei ini.
Road to World #QuranHour# telah disambut oleh Jawi dengan lahirnya penganjuran World Convention Al-Kahf yang julung kalinya diadakan pada 17 April lalu di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur. Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian bersama Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail.
Apakah kesan program berinteraksi dengan al-Quran melalui tadabbur dan tazakkur tersebut terhadap masyarakat?
MOHD AJIB: Jawi dengan kerjasama pelbagai rakan strategik telah menganjurkan World Convention Al-Kahf pada 17 April lalu di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61. Melalui program ini para peserta dapat menghayati dan mengambil banyak manfaat melalui ibrah surah al-Kahf. Konvensyen ini juga menyuntik motivasi dalam diri peserta agar lebih maju dan berjaya dalam kehidupan.
Bagaimana pihak Jawi menguar-uarkan dalam menjayakan program tersebut di Wilayah Persekutuan?
MOHD AJIB: Sepertimana program sebelum ini, Jawi akan bekerjasama membantu menghebahkan program World #QuranHour ini di ruang hebahan dan media sosial Jawi.
Siapakah pihak yang akan terlibat di bawah pentadbiran Jawi dalam mengadakan World #QuranHour?
MOHD AJIB: Jawi akan memberikan kerjasama di dalam penganjuran program ini melalui bahagian berkaitan dan masjid di sekitar Wilayah Persekutuan.
Kepentingan masyarakat dalam menghayati al-Quran melalui baca, faham dan amal?
MOHD AJIB: Al-Quran merupakan panduan dan rujukan terpenting umat Islam di dalam pelbagai aspek kehidupan. Melalui amalan membaca, memahami, dan mengamalkan al-Quran, ia akan menjadi inspirasi dan pemangkin semangat bagi masyarakat Islam mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Penghayatan terhadap al-Quran juga akan dapat menyuntik motivasi diri agar lebih maju dan berjaya dalam kehidupan.
Misi Al-Kahf sebagai tema World #QuranHour pada tahun ini?
MOHD AJIB: Surah Al-Kahf sangat bertepatan untuk dijadikan tema World#QuranHour pada tahun ini kerana iktibar dan pengajaran yang terkandung di dalamnya dapat diaplikasikan di dalam kehidupan bermasyarakat melalui empat tema utama iaitu cabaran iman, cabaran harta, cabaran ilmu pengetahuan, dan cabaran kekuasaan.
Selain itu, terdapat pelbagai elemen dan nilai-nilai RAHMAH (Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami, Hormat) yang terkandung di dalam al-Quran khususnya yang dapat dicungkil melalui surah al-Kahf ini. Pemahaman terhadap nilai-nilai dan elemen RAHMAH ini akan dapat menjadi panduan dan pengajaran dalam usaha kita merealisasikan serta membudayakan konsep dan pendekatan Rahmatan lil Alamin dalam aspek kehidupan.
Apakah cabaran masa kini Jawi dan bagaimana menanganinya?
MOHD AJIB: Jawi sentiasa berhadapan cabaran untuk memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap al-Quran.
Justeru Jawi sentiasa berusaha menganjurkan pelbagai inisiatif bagi memupuk budaya mencintai dan mendekati al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan. Inisiatif ini termasuk melalui penganjuran secara tahunan Majlis Tilawah dan Mengafaz Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan serta aktiviti kelas pengajian al-Quran di masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan ataupun melalui Bahagian Pengurusan Dakwah serta sekolah-sekolah agama di bawah pengurusan Jawi.
Peranan Jawi bagi golongan orang Islam dan bukan Islam?
MOHD AJIB: Jawi sentiasa berusaha menganjurkan pelbagai inisiatif khususnya di dalam memupuk budaya mencintai dan mendekati al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan.
Aktiviti ini bukan sahaja melibatkan masyarakat Islam tetapi diperluas kepada masyarakat bukan Islam. Bahkan untuk makluman, World Convention Al-Kahf yang dianjurkan tempoh hari turut dihadiri oleh peserta dalam kalangan orang bukan Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!