LTdL 2023: Nur Aiman, Hariff sandaran utama Malaysia

Nur Aiman (depan) dan Mohamed Harrif Saleh diletakkan sebagai sandaran utama Malaysia pada saingan LTdL 2023 bermula 23 hingga 30 September ini. - Foto: Bernama
Nur Aiman (depan) dan Mohamed Harrif Saleh diletakkan sebagai sandaran utama Malaysia pada saingan LTdL 2023 bermula 23 hingga 30 September ini. - Foto: Bernama
A
A
A
DUA pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Mohd Zariff dan Mohamed Harrif Saleh diletakkan sebagai sandaran utama Malaysia pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 bermula 23 hingga 30 September ini.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023, Emir Abdul Jalal berkata, beliau menaruh harapan tinggi terhadap Nur Aiman untuk meraih hatrik sebagai Raja Bukit pada perlumbaan itu, selepas dua kali berturut-turut merangkul gelaran itu pada 2020 dan 2022, manakala edisi 2021 dibatalkan akibat pandemik Covid-19.

Emir berkata, walaupun Nur Aiman, 26, bukan pelumba pendaki sepenuhnya (pure climber) untuk muncul juara pendakian Hors category dari Slim River ke Genting Highlands pada Peringkat 5, namun beliau mempunyai kemampuan dan strategi untuk mengatasi kehebatan pendaki lain bagi mengesahkan gelaran itu.

"Ia kerana setiap peringkat ada intermediate climb seperti kategori 1, 2 dan 3 yang menawarkan mata agak tinggi.

"Sekiranya Nur Aiman dapat mengumpul sebanyak mata yang boleh dan meraih top 10 di Genting, beliau berpeluang cerah untuk mempertahankan jersi itu buat kali kedua berturut-turut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengenai pakar pecut Mohamed Harrif yang pernah memenangi tiga peringkat sepanjang 12 kali penyertaan di LTdL, Emir berkata pelumba berusia 35 tahun itu mampu mengulangi kejayaannya untuk mencapai kemenangan pada kali ini, atau sekurang-kurangnya menaiki podium.

Sementara itu, pasukan berstatus World Team, EF Education-Easypost dari Amerika Syarikat dilihat sebagai pencabar utama untuk merangkul gelaran pasukan terbaik dan jersi kuning (pelumba terbaik) pada edisi kali ini, selepas dinafikan kejayaan pada tahun lepas oleh pasukan Movistar diketuai Ivan Sosa.

Emir berkata ia kerana EF Education-Easypost telah merangka strategi dengan mendaftarkan pelumba terbaik mereka, termasuk pemenang peringkat kelima perlumbaan Tour de Alps pada April 2023, Simon Carr dan pemenang gelaran Pelumba Muda Terbaik Giro di Sicilia tahun lepas, Jefferson Cepeda Oritz.

"Namun, ada satu pasukan dari Sepanyol, Euskaltel-Euskadi yang dilihat mempunyai objektif sangat unik apabila menghantar enam pendaki. Satu lagi World Team, Astana Qazaqstan turut membariskan pelumba terbaik mereka,” katanya.
Artikel Berkaitan:


LTdL 2023 yang melibatkan laluan di 11 negeri, akan bermula dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 184.4km; Peringkat 2 Kuala Terengganu-Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli-Baling (177.1km); Peringkat 4 Bukit Mertajam-Meru Raya (140km).

Perlumbaan itu kemudian akan berlangsung dengan Peringkat 5 dari Slim River-Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak-Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar-Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam-Kuala Lumpur sejauh 157km. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!