Kasih ayah dukung anak lumpuh 27 tahun
SHAH ALAM - “Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa,” ujar seorang penghidap cerebral palsy, Intan Syafienaz Mohamad Bakhid, 27.
Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, dia tidak dapat berjalan selepas hilang upaya di bahagian bawah badan akibat penyakit yang dialami sejak berumur setahun.
Katanya, meskipun menggunakan kerusi roda namun bapanya, Mohamad Bakhid Alwi, 54, akan tetap mendukungnya terutama ketika berada di lokasi tiada kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU).
"Saya tidak dapat nak bayangkan macam mana kehidupan tanpa mereka kerana ibu, Hazariah Salleh, 55, dan ayah sudah umpama kaki dan tangan saya.
“Adik bongsu berumur 13 tahun pula menghidap major beta talasemia sejak berumur enam tahun.
"Sebulan sekali ayah dan emak akan bawa adik pergi hospital untuk menerima darah.
Alhamdulillah, sekarang kos rawatan percuma kerana masih bersekolah,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Intan Syafienaz, ketika ini bahagian badan sebelah kanannya semakin lemah sekali gus menyukarkan dia makan menggunakan tangan dan memegang sesuatu.
"Dulu banyak benda saya boleh buat sendiri, cuma ke bilik air emak akan angkat, mandi dan makan sendiri.
“Sekarang jari tidak boleh genggam nasi tapi masih boleh pegang sudu," jelasnya yang tinggal di Kampung Setiawan di Manjung, Perak.
Intan Syafienaz berkata, pelbagai inisiatif dilakukan untuk mengubati penyakitnya termasuk mencuba khidmat perubatan tradisional namun ia masih tidak membuahkan hasil.
Ujarnya, tulang dari bahagian pinggang ke bawah yang lemah mengakibatkan dia hilang upaya berdiri dan tidak boleh memakai kaki palsu.
Dia sangat bersyukur memiliki ibu bapa yang setia berkorban dan tidak pernah merungut membawanya ke mana sahaja.
"Abah seorang yang tepati janji dan sentiasa memenuhi permintaan anak-anak.
Walaupun kadang-kadang destinasi yang dituju itu jauh dan bukan mesra kerusi roda, abah sanggup dukung.
"Saya bersyukur mempunyai mak abah yang penyayang dan sabar.
Nak ke mana-mana mereka sanggup angkat dan bantu saya walaupun sudah berusia,” katanya.
Intan Syafienaz kini menjana pendapatan dengan berniaga kain tudung secara dalam talian di aplikasi TikTok bagi meringankan beban bapanya yang bekerja di syarikat kutipan sampah manakala ibu hanya suri rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!