Elavarasan dedah punca Harimau Muda tewas

Alif Ikmalrizal (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Vietnam dalam aksi separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF di Rayong, Thailand pada Khamis. - Foto Facebook FAM
Alif Ikmalrizal (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Vietnam dalam aksi separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF di Rayong, Thailand pada Khamis. - Foto Facebook FAM
A
A
A

KETUA jurulatih bawah 23 tahun (B-23) negara, E Elavarasan mengakui anak-anak buahnya hilang fokus sehingga menyebabkan impian mereka untuk mara ke final Kejuaraan B-23 AFF 2023 tidak kesampaian.

Skuad Harimau Muda tewas 1-4 kepada Vietnam dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Wilayah Rayong, Thailand pada Khamis.

Malah Elavarasan turut mendedahkan bahawa corak permainan yang mereka rancang juga tidak menjadi, selain barisan pertahanan alpa sehingga menyebabkan Malaysia 'bocor' dengan tiga jaringan pada babak pertama.

“Saya merasakan pada separuh masa pertama kami tidak beraksi dengan efektif.

Cara permainan kami tidak seperti mana yang dirancang.

“Banyak kesilapan yang dilakukan di bahagian pertahanan.

Bolos dengan tiga jaringan pada separuh masa pertama memberi kelebihan buat Vietnam,” ujar Elavarasan pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Jurulatih berusia 61 tahun itu bagaimanapun menjelaskan daripada sudut positif bahawa dia berpuas hati dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan pemain ketika beraksi di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Pendedahan di peringkat antarabangsa memberi sedikit perkembangan positif untuk barisan kejurulatihan menilai kualiti setiap pemain.

Sejauh mana mereka mampu pamerkan," katanya.

Dalam aksi itu, skuad Harimau Muda dikejutkan gol pertama lawan hasil sentuhan Dinh Xuan Tien pada minit kelapan.

Vietnam kemudian menambah dua lagi gol masing-masing menerusi Nguyen Quoc dan Xuan Tien pada minit ke-32 serta ke-44.

Memasuki babak kedua, Malaysia merapatkan defisit kepada 1-3 hasil jaringan Alif Ikmalrizal Anuar yang menanduk cantik hantaran Aliff Izwan Yuslan di minit ke-49.

Bagaimanapun, gawang negara bocor lagi pada minit ke-85 hasil tampanan mudah Nguyen Hong Phuc untuk memastikan Vietnam berada pada prestasi terbaik mempertahankan gelaran yang dimenangi pada edisi lalu.

Malaysia akan menentang pemenang antara Thailand atau Indonesia bagi penentuan tempat ketiga.

Pertembungan antara Thailand dan Indonesia akan berlangsung pada jam 9 malam ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!