JDT diundi bersama Ulsan Hyundai, Kawasaki Frontale, BG Pathum
GERGASI bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi akan berdepan dua lawan yang sama dari peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim lalu selepas diundi berdepan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai dan pasukan Jepun, Kawasaki Frontale dalam Kumpulan I untuk saingan 2023/24.
Selain berdepan juara Liga Korea 1 dan naib juara Liga J1, skuad kendalian Esteban Solari itu juga bakal membuat perhitungan dengan kelab berpengaruh dari Thailand, BG Pathum yang berstatus naib juara Liga Thai 1 2022
Solari berkata, walaupun ia merupakan penampilan pertamanya dalam Liga Juara-Juara Asia, namun tetap berwaspada dengan cabaran yang bakal dihadapi pemain-pemain JDT musim ini.
“Ya, kami akan berdepan dengan lawan yang sama dengan pengalaman yang baharu. Musim lalu JDT berjaya melakukan tugas dengan cemerlang, namun dengan format yang berbeza.
“Musim ini pula JDT akan berdepan kelab besar dari Korea Selatan dan Jepun serta sebuah pasukan besar dari Thailand.
“Ya, tiga pasukan ini juga merupakan pasukan pilihan dan JDT teruja untuk sekali lagi menampilkan saingan serta mendapatkan mata,” katanya selepas majlis undian di AFC House, Bukit Jalil pada Khamis.
Pada masa sama Solari berharap pendahulu Liga Super itu dapat mengesahkan kejuaraan lebih awal apabila bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Setar menentang Kedah Darul Aman Sabtu ini.
Sebagai rekod, JDT membelasah Kedah Darul Aman, 6-0 dalam perlawanan pusingan pertama Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada 9 April lalu.
Gol Harimau Selatan dalam aksi itu dijelmakan Fernando Forestieri, Feroz Baharudin, Oscar Arribas, Bergason da Silva, Arif Aiman dan Leandro.
“Saya juga gembira jika JDT berjaya mengesahkan kejuaraan Liga Super pada Sabtu supaya kami boleh mula memberi tumpuan bagi menghadapi Liga Juara-Juara pada September.
“Sudah pasti ia akan membantu JDT, kami boleh menumpukan perhatian kepada Liga Juara-Juara Asia yang memerlukan lebih tenaga dan kekuatan mental.
“Biarpun begitu kami perlu kekal tenang dan mengambil satu demi satu perlawanan,” kata pengendali berusia 43 tahun kelahiran Rosario, Argentina.
JDT yang membuat penampilan kelima kali ini selepas mencipta sensasi layak ke fasa 16 terbaik musim lalu akan menyingkap kempen berdepan Kawasaki Frontale pada 18 September.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!