Laporte benteng baharu Al-Nassr
PERTAHANAN tengah Sepanyol, Aymeric Laporte meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City untuk menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr, diumumkan kedua-dua kelab itu pada Khamis.
Butiran kewangan tidak didedahkan tetapi media Britain melaporkan Al-Nassr membayar yuran perpindahan sebanyak 27.5 juta euro untuk tonggak berusia 29 tahun itu yang mempunyai baki dua tahun dalam kontrak bersama juara treble musim lalu itu.
Sebagai rekod, Laporte ialah pemain asing keenam utama Al-Nassr selepas Sadio Mane, Marcelo Brozovic, Alex Telles, Seko Fofana dan Otavio, bermula dengan menandatangani Cristiano Ronaldo musim lalu.
“Saya bangga dapat mewakili kelab Manchester City sejak enam musim lalu...
"Saya akan sentiasa menjadi peminat Manchester City dan saya tidak sabar untuk berjumpa dengan anda semua lagi,” katanya.
Ditandatangani pada jendela perpindahan Januari musim 2017-18 dari kelab La Liga Sepanyol,Athletic Bilbao, Laporte terus menjadi ahli penting di barisan belakang City dan membuat 180 penampilan untuk pasukan Liga Perdana Inggeris itu dalam semua pertandingan.
Dia memenangi lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris, dua Piala FA, tiga Piala Liga dan Liga Juara-Juara semasa di City.
Bagaimanapun dia berada dalam senarai di bawah musim lalu dengan Ruben Dias, Manuel Akanji dan Nathan Ake lebih disukai di pertahanan tengah.
Laporte menyiarkan mesej perpisahan di media sosial pada Rabu, mengucapkan terima kasih kepada penyokong kelab bola sepak Manchester City atas sokongan mereka.
Walaupun bermain untuk pasukan remaja Perancis, dia menukar kesetiaan kepada Sepanyol pada 2021 dan mempunyai 22 caps untuk pasukan kebangsaan.
Sebelum ini Manchester City juga kehilangan Riyad Mahrez dari Algeria yang menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Ahli.
Bagaimanapun Manchester City diberi motivasi apabila Bernardo Silva, yang menyertai City pada 2017 dan dikaitkan dengan perpindahan ke Paris Saint-Germain (PSG), menandatangani lanjutan kontrak sehingga 2026.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!