Pelepasan air radioaktif: Penduduk dunia resah pengambilan makanan laut dari Jepun
TOKYO - Pengumuman Jepun untuk pelepasan air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik, telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada penduduk di negara jiran.
Tidak lama selepas pengumuman itu dibuat, pejabat kastam China menyatakan larangan sedia ada terhadap makanan laut import dari Fukushima dan beberapa wilayah akan segera dilanjutkan untuk melindungi kesihatan pengguna China.
Dalam pada itu, banyak pihak mengharapkan Hong Kong akan mengikuti langkah yang sama dalam beberapa hari akan datang. Situasi ini juga dilihat menjadi pukulan hebat kepada Jepun. China dan Hong Kong yang menyumbang hampir separuh daripada semua eksport makanan laut Jepun - berjumlah AS$1.1 bilion (RM5.1 bilion) setiap tahun.
Dalam masa sama, media sosial di negara China dibanjiri dengan penulisan penduduk yang risau mengenai kesan jangka panjangnya terhadap ikan yang disajikan di restoran di seluruh dunia.
"Ini bukan hanya soal sama ada makanan laut selamat untuk dimakan. Peraliran arus bermaksud ini akan memberi kesan kepada seluruh dunia,” menurut salah satu komen di laman media sosial, Weibo.
Profesor Madya Kimia Nuklear di Sweden, Mark Foreman turut memaklumkan individu yang mengambil banyak makanan laut hanya boleh terdedah kepada dos sinaran "rendah" - dalam julat 0.0062 hingga 0.032 mikroSv setahun.
Tambah beliau, manusia secara selamat boleh terdedah kepada puluhan ribu kali lebih banyak daripada itu - atau sehingga 1,000 mikroSv sinaran setahun namun ia tetap menjadi kebimbangan ramai.
Jepun pada Khamis mula melepaskan air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik biarpun rancangan itu mendapat kritikan hebat dan sekatan import makanan laut oleh China, Korea Utara serta Hong Kong.
Malah kumpulan nelayan Jepun sendiri mengakui mereka bimbang pelepasan air itu akan mendorong kepada kemusnahan reputasi sektor makanan laut negara itu. - Awani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!