Misi JDT tumpaskan Kedah
IBARAT aksi final, pengendali skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mahu kesebelasan pemainnya memberikan aksi terbaik bagi merealisasikan misi menjulang trofi Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut ketika berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), di Stadium Darul Aman pada Sabtu.
Justeru menurutnya, skuad Harimau Selatan itu telah melakukan persiapan rapi bagi mengharungi aksi berkenaan biarpun bakal berdepan cabaran getir di ‘gelanggang keramat’ skuad Hijau Kuning itu.
“Perlawanan kali ini agak berbeza kerana kami bermain dalam keadaan berpeluang untuk muncul juara (Liga Super).
“Oleh itu, perlawanan ini sememangnya penting buat kami dan kami telah melakukan persiapan yang terbaik.
“Kami sedar, perlawanan kali ini bukannya mudah, tetapi kami akan berikan aksi terbaik bagi merealisasikan misi (juara) ini,” katanya menjelang perlawanan berkenaan.
Untuk rekod, JDT yang kini gah di puncak dengan 60 dengan rekod tanpa kalah setakat ini hanya memerlukan satu kemenangan untuk dinobatkan selaku juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.
Berbaki enam perlawanan, kedudukan skuad Harimau Selatan itu dilihat sukar untuk ditandingi oleh mana-mana pasukan kali ini.
Sementara itu, peledak berbisa Bergson Da Silva, berazam membantu skuad Harimau Selatan itu melakar kemenangan ke atas KDA FC dan menjulang trofi Liga Super kali ini.
Malah katanya, perkara tersebut akan memberikan sedikit kelebihan untuk JDT melakukan persiapan bagi mengharungi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), tidak lama lagi.
“Bagi saya, perlawanan ini penting bagi kami dan untuk itu kami telah lakukan persiapan secukupnya untuk menentang Kedah (KDAFC).
“Perlawanan ini macam final kerana jika menang, kami akan mencipta sejarah memenangi Liga Super buat kali ke-10,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!