Pintu belakang pun tidak apa
MATRIKULASI diwujudkan sebagai pintu belakang buat orang Melayu untuk masuk belajar di institusi pengajian tinggi awam, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini amatlah menggores hati dan perasaan orang Melayu. Tidak patutlah kata begitu.
Perkataan dan pernyataan itu akan menjadi sejarah di kemudian hari. Generasi akan datang yang membaca kenyataan ini mungkin terpengaruh dan pada masa sama akan malu dengan bangsa sendiri.
Walaupun masuk matrikulasi, mereka tetap perlu belajar dan lulus periksa. Bukan datang suka-suka sahaja. Perlu berpenat lelah dan berbelanja.
Ini semua demi menimba ilmu untuk ke menara gading dan seterusnya mencapai cita-cita. Bahkan ada juga yang berjaya dengan cemerlang walaupun melalui pintu belakang.
Sekarang pula terdapat desakan supaya kerajaan mendedahkan pengambilan mengikut kaum untuk tahun 2019. Desakan oleh MIC itu hanya ingin memastikan ketelusan.
Maka Kementerian Pendidikan hendaklah berani berterus terang berapa banyak sebenarnya kuota untuk orang Melayu, India dan Cina supaya semua telus dan berpuas hati. Memang hendak memuaskan hati semua pihak bukan senang. Yang penting adalah toleransi dan berkongsi.
Jika betul kuota telah diberi kepada kaum Cina sebanyak 1,000 orang, maka menurut kata MIC, beritahulah kepada rakyat jelata juga supaya tidaklah mereka meneka dalam kesamaran. MIC mungkin tidak puas hati disebabkan kuotanya telah dipindahkan kepada kaum Cina. Pada masa sama menjadi perdebatan hangat antara kaum pula.
Walaupun begitu, sistem pintu belakang ini eloklah diteruskan. Pintu belakang atau depan, itu semua tidak penting. Yang penting belajar bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan untuk ke menara gading serta menjadi rakyat yang menyumbang kepada pembangunan negara.
Cuma kepada Dr Mahathir, janganlah terlalu merendahkan bangsa sendiri. Bukan apa, tidak elok untuk generasi akan datang. Setiap perkataan ini akan menjadi sejarah dan tercatat sampai bila-bila.
Eloklah diuar-uarkan perkara yang baik sahaja untuk kaum sendiri. Sedikit demi sedikit perkataan dan perkara yang baik akan menyelinap secara tidak sedar ke dalam diri.
"Seperti kata pakar motivasi, minda di bawah sedar. Maka generasi yang akan datang apabila membaca berita yang baik-baik sahaja akan berbanggalah dengan bangsa sendiri yakni Bani Melayu ini.
Jika selalu dimomokkan dengan perkara negatif dan menghina bangsa sendiri, maka ramai yang akan merendahkan kita. Justeru, jadilah seperti peribahasa Melayu lama seperti mati enau tinggal di rimba. Lama-lama hilanglah Melayu di dunia.
Ambillah contoh Pak Din ini. Walaupun sentiasa menggunakan pintu belakang, tetapi berjaya menjadi aktivis bebas yang memperjuangkan nasib bangsa.
“Dulu-dulu masa aku sekolah, biasa juga aku masuk pintu belakang. Bukan apa dah lambat, tak gamak pula nak masuk selamba sahaja di pintu depan. Nanti apa pula kata cikgu kan.
“Aku tunggu cikgu menghadap papan hitam dulu, baru aku laju-laju masuk dan duduk di tempat. Biasanya cikgu tak perasan. Tapi setakat ini selalu terlepas sahaja,” kata Pak Din bangga.
“Oh Pak Din nakal juga ya?” Saya menyoalnya.
“Dululah. Sekarang dah jadi aktivis dah tak nakal lagi. Lagipun aku rasa hendak bersara dah dari mengikut aktivis lain melalak-lalak ni. Tak larat. Dah tua agaknya.”
Saya tersenyum sahaja mendengar percakapan Pak Din. Memang sekarang beliau agak kurang sekali menyambut laungan jalanan. Dulu bermula dari reformasi, pantang undur, semua diredahnya.
“Darah muda. Tengah panas,” jawab Pak Din.
“Biasalah Pak Din, orang muda cepat panas tapi bila dah tua kena banyak bersabar juga. Kata tok-tok guru, sabar itu separuh daripada iman. Jadi untuk menyempurnakan imam yang separuh kenalah banyak bersabar,” kata saya pula.
“Lagi separuh pula?” tanya Pak Din sambil merenung biji mata saya.*
Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-meml beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!