Di mana ibu kandung Nur Syafiqatul Zuri?
KEMAMAN - Seorang lelaki dari Taman Alam Perdana, Pasir Semut di sini mencari ibu kandung kepada seorang kanak-kanak perempuan bagi melancarkan proses dokumentasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dijadikan sebagai anak angkat yang sah.
Mohamad Ramizan Ramli, 38, berkata, dia mahu menjadikan Nur Syafiqatul Zuri Abdul Rahim, 8, sebagai anak angkatnya selain perlu berurusan untuk permohonan memasuki sekolah.
Menurutnya, kanak-kanak itu diserahkan kepadanya buat sementara waktu oleh seorang wanita yang hanya dikenali dengan nama Aisyah Carissa Abdullah di rumahnya pada Mac 2020.
Katanya, wanita tersebut menyerahkan kanak-kanak itu kepadanya kerana memberi alasan mahu mencari pekerjaan.
"Ibu kepada anak angkat saya adalah warga Filipina dan pernah tinggal di Taman Bukit Bauk, Dungun.
“Sebelum ini saya telah berusaha mencari wanita tersebut namun tidak berjaya kerana tidak tahu dimana dia berada. Dia juga tidak meninggalkan nombor telefon dan alamat,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurut Mohamad Ramizan, baru-baru ini dia menghadiri temuduga bersama JKM untuk proses perakuan anak angkat yang sah.
Katanya, selepas merujuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dia disarankan supaya mengesan ibu kandung kanak-kanak itu bagi memudahkan proses tersebut.
"Nur Syafiqatul Zuri adalah kanak-kanak pintar di sekolah malangnya dia tidak dapat meneruskan persekolahan disebabkan tiada kad pengenalan diri yang sah.
"Saya harap sangat dapat kesan ibu kandung kepada anak angkat saya ini," ujarnya.
Mana-mana individu yang mengenali ibu atau saudara kandung kepada kanak-kanak itu atau mereka yang berkaitan boleh hubungi talian 011-1079 9849.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!