Sambutan Hari Kebangsaan: 22 jalan ditutup di Putrajaya
KUALA LUMPUR - Sebanyak 22 jalan akan ditutup sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Putrajaya, 31 Ogos depan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kesemua jalan ini ditutup bermula jam 5 pagi hingga 11 pagi secara berperingkat.
Menurutnya, seramai 1,764 termasuk 171 petugas trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas pada sambutan terbabit.
"Kita menjangkakan seramai 100,000 pengunjung akan hadir ke sambutan Hari Kebangsaan ini.
"Bagi yang ingin membawa kenderaan sendiri, tempat letak kenderaan adalah terhad dan pengunjung digalakkan untuk menggunakan shuttle bas yang disediakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Kompleks E dan Putrajaya Sentral untuk ke lokasi acara sambutan.
"Bagi kenderaan e-hailing boleh menurunkan penumpang di sekitar kawasan Masjid Besi, Kiblat Walk dan Jalan Tun Hussein (belakang Istana Kehakiman)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat.
Beliau berkata, perkhidmatan pengangkutan percuma juga disediakan oleh Perbadanan Putrajaya di Terminal Putrajaya Sentral dan PICC selain digalak menggunakan pengangkutan awam bas, Express Rail Link (ERL) serta Mass Rapid Transit (MRT).
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan sebanyak 18 jalan akan ditutup ketika raptai dan raptai penuh di Dataran Putrajaya pada 27 hingga 29 Ogos.
Ujarnya, antara jalan itu ialah Persiaran Perdana ke Laman Perdana, Lebuh Saujana ke Persiaran Perdana dan ke Lebuh Wadi Ehsan, Lebuh Wawasan ke Lingkaran Gemilang 1, Lebuh Bestari ke Persiaran Perdana dan Jalan Kemerdekaan ke arah Persiaran Perdana.
"Penutupan ketika raptai ini bermula jam 5 pagi hingga 11 pagi," katanya.
Jelasnya lagi, sambutan ambang merdeka pula akan diadakan di tiga lokasi sekitar ibu negara iaitu Dataran Merdeka, menara berkembar KLCC serta Bukit Bintang dengan jangkaan pengunjung kira-kira sehingga 30,000 orang.
Allaudeen menegaskan, penggunaan dron tanpa kelulusan selain membawa apa-apa kain rentang, plakad atau banner yang berunsur sensitif adalah tidak dibenarkan sepanjang raptai, ambang merdeka serta hari sambutan.
"Pengunjung diminta membuat perancangan teliti dan hadir lebih awal bagi elak kesesakan selain pastikan kenderaan tidak diletakkan di kawasan larangan," katanya.
INFO:
Senarai 22 jalan ditutup semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Putrajaya.
1) Persiaran Perdana ke Laman Perdana
2) Lebuh Wawasan ke Persiaran Perdana dua-dua arah
3) Lebuh Saujana ke Persiaran Perdana
4) Lebuh Bestari ke Persiaran Perdana
5) Jalan Pembangunan dari arah Jalan Tun Abd Razak dan Jalan Permodenan
6) Jalan Kemerdekaan ke arah Persiaran Perdana
7) Jalan Tun Abd Razak ke Lebuh Wawasan
8) Jalan Tuanku Abd Rahman Lebuh Wawasan
9) Jalan P3F ke Persiaran Perdana
10) Jalan P2K ke Persiaran Perdana
11) Jalan P3C ke Persiaran Perdana
12) Jalan P2S ke Persiaran Perdana
13) Jalan P2W ke Persiaran Perdana
14) Jalan P2P ke Persiaran Perdana
15) Lebuh Setia ke Persiaran Perdana
16) Jalan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke Bulatan Putra
17) Lebuh Setia ke Persiaran Perdana
18) Jalan Perpaduan ke Lingkaran Gemilang 1
19) Jalan Tun Hussein ke Lebuh Bestari
20) Persimpangan Lebuh Saujana/Persiaran Perdana
21) Lebuh Sentosa ke Persiaran Perdana
22) Lebuh Wadi Ehsan ke Persiaran Perdana
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!