Menu sate ilham pembekal daging arnab

Abdullah Syaraffi menunjukkan produk pekasam arnab.
Abdullah Syaraffi menunjukkan produk pekasam arnab.
A
A
A

KULIM - Sedar bahawa daging arnab kurang di pasaran, seorang anak muda dari Kampung Parit Teropong di Bandar Baharu di sini nekad mengusahakan ternakan haiwan itu secara serius sejak pertengahan 2014.

Setelah lima tahun berlalu, Pengurus Besar Ceq Lah Empire Agrofarm, Abdullah Syaraffi Samshir berjaya membangunkan sebuah empayar perniagaan di usia 28 tahun.

Dengan usia masih muda, Abdullah Syaraffi berjaya membuka pusat ternakan dan pemprosesan arnab pedaging terbesar di Utara yang bertempat di Kampung Parit Teropong, Sungai Kechil Ulu.

Abdullah Syaraffi (kanan) memberi penerangan kepada pengunjung di pusat menternak arnab miliknya.
Abdullah Syaraffi (kanan) memberi penerangan kepada pengunjung di pusat menternak arnab miliknya.

Berkongsi pengalaman, Abdullah Syaraffi berkata, minat membela arnab berputik sejak di bangku sekolah rendah dan pada awal perniagaan hanya membuka kedai peliharaan arnab.

"Bila melanjutkan pengajian ke universiti, kedai itu ditinggalkan bertahun-tahun. Idea untuk pasarkan daging arnab tercetus apabila melihat menu sate arnab dijual di sebuah kedai di negeri ini.

"Ketika itu, peniaga kedai itu beritahu sate arnab tiada kerana pembekal daging arnab sudah tiga tahun tidak hantar bekalan. Jadi saya tanya kepadanya adakah dia terima jika saya berminat bekalkan daging arnab kepadanya?

"Peniaga itu berikan jawapan perlu berterusan jika mahu bekalkan daging arnab. Daripada situ bermulalah idea untuk saya menceburi bidang ini secara komersial dan ketika itu juga saya baru tamat belajar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ibu bapa dan keluarganya sering memberikan sokongan padu kepadanya untuk mengusahakan perniagaan itu secara sepenuh masa.

Mula dengan modal RM2,000

Pada pertengahan 2014 Abdullah Syaraffi melakukan kajian terhadap kebolehpasaran bidang ternakan arnab melalui Jabatan Veterinar dan Institusi Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).

"Menurut jabatan berkenaan, Kedah pernah gah dengan ternakan arnab pada tahun 90-an. Tetapi mungkin kerana pasaran waktu itu tidak terlalu besar dan kuasa beli masyarakat masih rendah menyebabkan ternakan arnab berkurangan," katanya.

Siswazah Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia itu berkata, ternakan arnab diusahakan ketika itu berbekalkan modal RM2,000 iaitu hasil simpanan ketika masih lagi belajar.

"Saya mula bela arnab ini dengan 10 ekor induk saja. Alhamdulillah sekarang ini, saya sudah ada 250 ekor induk arnab pedaging. Ceq Lah Empire Farm juga membantu lebih daripada lapan orang penternak arnab pedaging di kawasan seluruh utara," katanya.

Salah seekor arnab bersaiz besar dibela Abdullah Syaraffi.
Salah seekor arnab bersaiz besar dibela Abdullah Syaraffi.

Kitaran arnab cepat

Abdullah Syaraffi berkata, penjagaan arnab tidak begitu rumit dan mampu menjana keuntungan tinggi kerana seekor arnab baru lahir hanya perlu dijaga selama 90 hari sebelum boleh disembelih.

"Kitaran beranak bagi seekor arnab betina cepat iaitu lapan kali setahun. Anak-anak arnab akan bersama ibunya untuk menyusu selama 30 hari sebelum diceraikan susu daripada ibunya.

"Kemudian dibela dalam sangkar berasingan selama 60 hari. Cukup 90 hari beratnya boleh mencecah 2.2kg dan sudah boleh disembelih," katanya.

Menurutnya, kadar kelahiran arnab mencapai daripada lima hingga sembilan ekor bagi setiap kelahiran dan pemilihan Induk yang betul mempercepatkan tumbesaran dan singkatkan tempoh untuk arnab cukup berat serta disembelih.

"Jika kena dengan genetik yang bagus, arnab cepat membesar. 80 hari sahaja akan dapat 2.1kg bagi timbangan hidup. Pnternak arnab tidak memerlukan ruang yang luas tetapi paling penting sistem yang betul," katanya.

Abdullah Syaraffi duduk tengah bergambar kenangan bersama peserta kursus ternakan arnab.
Abdullah Syaraffi duduk tengah bergambar kenangan bersama peserta kursus ternakan arnab.

Keluarkan pelbagai produk arnab

Abdullah Syaraffi berkata, Ceq Lah Empire Agrofarm turut menghasilkan produk makanan berasaskan daging arnab dengan bantuan empat pekerja.

"Pertama kami ada menyediakan perapan daging arnab. Keduanya kami memproses daging arnab tanpa kepala dan organ kepada pelanggan dan ketiga pihak kami menjual sate arnab.

"Kami juga membekalkan pekasam daging arnab. Permintaan terhadap produk ini sangat tinggi. Ada seorang individu menempah untuk 200 bungkusan," katanya.

Menurutnya, daging arnab amat kurang kolesterol dan asid selain kaya dengan vitamin, mineral, dan protein.

"Ia sangat sesuai dimakan pelbagai lapisan masyarakat termasuk ibu mengandung. Bahkan ia mempunyai kelebihan di mana enzimnya merangsang minda kanak-kanak untuk makan.

"Antara manfaat lain ialah ia mengatasi masalah pencernaan, merawat darah tinggi, gout, asma, kencing tidak lawas dan masalah kelakian," katanya.

Tidak hanya makanan, syarikat diuruskan Abdullah Syaraffi juga menghasilkan minyak rawatan berasaskan lemak arnab jantan yang diadun dengan pelbagai jenis herba.

"Kegunaan minyak ini khas untuk sakit saraf, strok, lemah tenaga batin dan rawatan ikhtiar untuk gangguan sihir," katanya.

Abdullah Syaraffi( tengah) menerima kunjungan Jabatan Veterinar Kedah
Abdullah Syaraffi( tengah) menerima kunjungan Jabatan Veterinar Kedah

Dalam pada itu, anak bongsu daripada empat beradik itu juga menaruh harapan untuk menjadikan Kedah sebagai pengeluar daging arnab terbesar di Malaysia.

"Harapan saya supaya Kulim-Bandar Baharu dapat menjadi pusat pengumpulan jualan, rujukan dan bimbingan bagi ternakan arnab.

"Malah saya amat berharap terutama anak muda di Kedah untuk ceburi bidang ternakan arnab. Mereka boleh mendapatkan khidmat bantuan daripada Ceq Lah Empire Agrofarm," katanya.

Abdullah Syaraffi berkata, Ceq Lah Empire Agrofarm sedia memberikan tunjuk ajar kepada peserta dan memberikan jaminan untuk membeli semula daging arnab.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!