PRK: Cuti anggota, pegawai polis Johor dibekukan
JOHOR BAHRU - Polis Johor membekukan cuti semua anggota dan pegawainya sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di negeri ini.
Polis Kontinjen Johor dibekukan bagi memastikan keupayaan penuh pemantauan dan penguatkuasaan dapat dijalankan sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) berlangsung di negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, langkah tersebut bagi memastikan pemantauan dan penguatkuasaan sepenuhnya dapat dijalankan sepanjang tempoh berkempen sehingga hari mengundi pada 9 September ini.
Beliau memberitahu, keanggotaan seluruh polis Johor seramai 3,500 mencukupi adalah bagi memastikan kelancaran bermula hari penamaan calon pada Sabtu.
"Buat masa ini, tiada keperluan untuk mendapatkan bantuan daripada kontinjen luar, keanggotaan Polis Kontinjen Johor sudah mencukupi bagi memastikan keamanan proses pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
"Oleh itu, cuti kesemua anggota dan pegawai polis di setiap bahagian akan dibekukan supaya dapat menjalankan tugas pada tahap optima sepanjang PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Jumaat.
"Saya mengingatkan semua yang terbabit supaya berkempen secara berhemah dan tatatertib serta menjauhi perbuatan merosakkan bahan kempen dan sebagainya.
"Semasa tempoh berkempen, turut diingatkan agar tidak menyentuh isu 3R (isu agama, raja dan kaum), ini termasuk kempen menerusi media sosial di mana mereka seharusnya mematuhi undang-undang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!