Harimau Muda enggan pulang hampa
SKUAD bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara tidak mahu pulang hampa dan bertekad melakar kemenangan ke atas Thailand sekali gus meraih tempat ketiga pada Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Stadium Rayong Provincial, Thailand pada Sabtu.
Kapten Harimau Muda, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili berkata, pemain negara berada pada tahap terbaik dan sedar perlu bangkit memadam duka tewas kepada Vietnam dalam aksi separuh akhir pada Khamis.
"Sudah tentu rasa kecewa kerana tidak dapat layak ke final tewas kepada Vietnam. Tetapi, moral pasukan dalam keadaan yang baik dan rakan sepasukan juga semua semangat untuk perlawanan seterusya.
"Perlawanan esok juga penting untuk kita meraih tempat ketiga dan pulang dengan satu pencapaian dalam kejohanan ini," katanya pada Jumaat.
Sebelum ini, skuad Harimau Muda menyasarkan untuk mara ke final dan memenangi kejohanan itu.
Bagaimanapun, misi tersebut tidak kesampaian selepas disekat Vietnam 1-3 dalam aksi separuh akhir sekali gus menyaksikan skuad negara akan bermain dalam perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Thailand pada Sabtu.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Harimau Muda di kejohanan B-23 AFF adalah tempat keempat pada edisi 2005 di Thailand.
Dalam pada itu, Ubaidullah mengakui Thailand bukan pasukan yang mudah dijinakkan dan menegaskan rakan sepasukan akan melakukan persiapan rapi.
"Kita ikut plan yang telah diterapkan oleh jurulatih. Apa yang kita buat adalah fokus dan kerja keras kerana Thailand pasukan yang kuat di kejohanan.
"Sudah tentu kami akan beri yang terbaik dan tunjuk kepada jurulatih sebab semua pemain nak berbakti kepada pasukan negara. Tak ada pemain yang datang jauh sekadar untuk dapat keputusan sia-sia. Dapat kemenangan esok satu cita-cita besar untuk kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!