Pengaruh Sanusi menangkan PN pada PRN - Ilham Centre
SHAH ALAM - Pengaruh yang ada pada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor digunakan Perikatan Nasional (PN) untuk berkempen hingga berjaya mengekalkan kemenangan di tiga negeri pada pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisomuddin Bakar berkata, isu Sanusi mendominasi kempen PN terutama pada minggu pertama kempen PRN.
"Mereka (PN) jadikan Sanusi (sebagai tarikan) dalam klip-klip video pendek dan mereka sebarkan dalam platform TikTok. Itu memberi pengaruh yang sangat kuat.
"Inisiatif ini juga unik kerana ia mempengaruhi sebahagian besar kempen mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajian 'Prediksi Akhir PRN: Prestasi Pakatan Harapan (PH) Unggul, PN Kuasai Jajaran Melayu' dalam Wacana Pasca Pilihan Raya Umum Negeri Ke-15 bertajuk 'PRN 6 Negeri: Apa Telah Terjadi' yang disiarkan secara langsung di Facebook Ilham Centre pada Jumaat.
Hisomuddin menegaskan, kajian mereka juga mendapati anak muda yang menyokong PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kekal berbuat demikian pada PRN lalu.
"Jadi PRU15 masih lagi mempengaruhi pengundi terutama segmen anak muda kerana sokongan mereka tidak berubah.
"Kalau tanya segmen ini, memang unik sikit sebab anak muda antara umur 18 hingga 25 tahun ini secara terbuka mengakui mereka undi PN," ujarnya.
Sementara itu, Hisommudin memberitahu, kajian mereka juga mendapati pengundi UMNO-Barisan Nasional sangat skeptikal atau waswas untuk mengundi calon PH pada PRN lalu.
Menurutnya, bagi kawasan yang ditandingi PH, kajian mendapati hanya dua atau tiga persepuluh pengundi UMNO mengakui akan mengundi PH.
"Contohnya paling ekstrim di Pulau Pinang bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dan selama ini dimenangi DAP dan apabila BN tidak bertanding di situ, sebahagian besar pengundi mengatakan tak mahu keluar mengundi.
"Namun bagi PH berbeza, orang PH ini memang walak (taat) sungguh. Mereka boleh terima untuk undi BN bagi memastikan PN tak boleh menang di sesuatu kerusi. Ini antara perkara yang kita dapat lihat dari segi kebolehpindahan undi antara BN-PH ini," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!