Tambah baik sekolah daif di Bangi siap dalam tiga bulan

Mohd Zuki ketika melawat projek inisiatif Mempercepatkan Pembangunan Sekolah Daif* di bawah STAR yang dapat disempurnakan dalam tempoh tiga bulan di SK Bandar Baru Bangi, pada Jumaat. - Foto Facebook Mohd Zuki
Mohd Zuki ketika melawat projek inisiatif Mempercepatkan Pembangunan Sekolah Daif* di bawah STAR yang dapat disempurnakan dalam tempoh tiga bulan di SK Bandar Baru Bangi, pada Jumaat. - Foto Facebook Mohd Zuki
A
A
A

PUTRAJAYA - Projek rintis inisiatif Mempercepatkan Pembangunan Sekolah Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Selangor telah dapat disempurnakan dalam tempoh tiga bulan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang melawat sekolah berkenaan pada Jumaat mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek berkenaan dilaksanakan dengan jayanya dalam tempoh yang disasarkan.

Beliau berkata, projek pembinaan yang melibatkan empat bilik darjah dan dua tandas itu dapat dilaksanakan dengan baik melalui proses penambahbaikan dalam prosedur kerja yang pantas terutama berkaitan dengan proses perolehan yang efisien.

"Saya juga berpuas hati dengan keadaan infra yang dibina yang membolehkan murid-murid dapat belajar dalam persekitaran yang kondusif serta ceria," katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook rasmi beliau.

Projek sekolah itu merupakan satu daripada projek inisiatif Mempercepatkan Pembangunan Sekolah Daif di bawah Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diketuainya.

Projek sekolah daif merujuk kepada keadaan infrastruktur sekolah yang usang, berbahaya dan memerlukan penggantian segera dan pembinaan semula.

STAR ditubuhkan pada Februari lepas dengan objektif untuk menilai dan menyediakan analisis idea-idea projek atau program berteraskan prinsip Madani iaitu kos rendah, berimpak tinggi serta boleh dilaksanakan dalam tempoh jangka masa pendek, sederhana dan tinggi.

Mohd Zuki berharap projek rintis itu menjadi inspirasi dan tanda aras kepada semua pelaksanaan projek kerajaan yang lain agar lebih efektif, pantas dan berkualiti selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi agenda Ekonomi Madani

"Ini membuktikan jika kita memberikan sepenuh komitmen dalam menjalankan amanah, tiada yang mustahil untuk dilaksanakan," katanya. - Bernama