Forest City kini zon khas kewangan, tarik pelaburan Singapura - PM

Anwar ( tengah) pada Jelajah Belanjawan 2024 Johor dan majlis dialog bersama Perdana Menteri, Kota Iskandar pada Jumaat.
Anwar ( tengah) pada Jelajah Belanjawan 2024 Johor dan majlis dialog bersama Perdana Menteri, Kota Iskandar pada Jumaat.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Forest City sebagai zon khas kewangan sebagai langkah menarik pelaburan asing seterusnya meningkatkan pelaburan asing di Johor.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, zon khas tersebut memberi keistimewaan kepada Johor yang berjiran dengan Singapura disamping mempunyai kemudahan yang lengkap di Forest City.

"Kita harus mampu saling melengkapi apatah lagi Singapura pernah ada sejarah dengan kita.

"Johor mempunyai tanah yang luas selain keupayaan dari segi tenaga, kerja oleh itu ia perlu dimanfaatkan bagi menjana peluang pekerjaan dan jana industri.

"Selepas meneliti perkara ini serta mendapatkan pandangan, saya bersetuju untuk mengumumkan status Forest City untuk diwujudkan Zon Khas Kewangan di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Belanjawan 2024 Johor dan majlis dialog bersama Perdana Menteri, Kota Iskandar pada Jumaat.

Mengulas lanjut mengenai Zon Khas Kewangan di Forest City itu, Anwar memberitahu insentif tambahan kadar cukai pendapatan khas 15 peratus bagi pekerja berkemahiran, Forest City visa beberapa kali masuk (Multiple Entry Visa) selain laluan pantas Imigresen antara zon khas akan diperkenalkan.

"Saya percaya jika insiatif zon khas ini dapat diberi penerangan meluas di Johor dan Singapura, ia dapat menarik ramai pelabur untuk guna kemudahan di Forest City.

"Apatah lagi tarikan istimewa di situ membabitkan perubatan, pendidikan dan pelancongan.

"Zon Khas Kewangan Forest City ini juga selari dengan ekonomi Madani dalam mewujudkan sinergi yang wujud di Johor," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!