'Arwah separuh sedar, sempat pesan beritahu isteri, anak'
TEMERLOH - Jawatankuasa Masjid Ubudiyah Kampung Paya Luas di sini, menolak dakwaan jemaah masjid itu lambat menghulurkan bantuan apabila seorang lelaki rebah dipercayai diserang strok ketika solat Asar, Sabtu lalu.
Setiausaha jawatankuasa masjid, Hilmi Muda berkata, pada waktu kejadian, jemaah yang ada telah bertindak dan memberikan bantuan kepada Abd Rahman Rapie, 64, sebelum dia meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada Isnin.
Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Abd Rahman kelihatan sedang menahan sakit dan membongkokkan sedikit badannya.
"Kalau kata lambat membantu, itu tak betul. Kalau tengok semula CCTV tersebut, arwah seolah-olah sedang menahan sakit dan membongkokkan badannya sedikit. Namun, selepas memberi salam, ada jemaah yang perasan keadaan arwah lalu memaklumkan kepada jemaah yang lain.
"Melihat keadaan arwah yang separuh sedar, jemaah segera menghubungi ambulans. Tapi ketika itu, arwah dalam keadaan lemah dan ada berpesan supaya memberitahu keadaannya kepada isteri dan anak-anaknya," katanya ketika ditemui di masjid itu pada Jumaat.
Tambah Hilmi, ada juga jemaah meminta cucu arwah yang turut berada di masjid ketika itu untuk pulang ke rumah dan meminta kad pengenalan bagi memudahkan urusan hospital.
Sebelum ini tular satu rakaman CCTV memaparkan seorang jemaah lelaki dilihat seakan-akan terkaku ketika berada dalam keadaan duduk antara dua sujud, sebelum rebah dan didakwa meninggal dunia.
Perkongsian video tersebut mendapat pelbagai reaksi warga net termasuk ada yang mempertikaikan kelewatan jemaah lain memberikan bantuan.
Bagaimanapun anak mangsa, Nor Atikah Abd Rahman, 34, menjelaskan bahawa bapanya meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada Isnin dan bukannya ketika solat di masjid itu Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Hilmi berkata, pemergian Abd Rahman amat dirasai buat penduduk dan masjid tersebut.
"Arwah memang kerap solat jemaah di masjid ini dan banyak menyumbang bantuan kepada pengurusan masjid serta penduduk di sini.
"Beliau seorang dermawan dan ringan tulang serta antara keluarga yang rajin buat korban setiap tahun," kata Hilmi.
Sementara itu, Nor Atikah memberitahu dia menerima panggilan dan mesej yang bertubi-tubi apabila klip video itu tular sehingga kini.
"Saya memang tak tahu mengenai kecaman itu sebab saya tiada akaun TikTok. Tapi, bila mak tunjukkan video yang dikongsi rakannya, baru saya tahu. Agak terkilan juga dengan situasi itu.
"Saya tak menyalahkan sesiapa, malah berterima kasih kepada jemaah masjid yang membantu arwah ayah semasa pengsan," jelas anak kedua daripada enam beradik itu.
Sehubungan itu, Nor Atikah meminta warga net tidak lagi membuat komen-komen negatif terhadap jemaah masjid terbabit dengan penjelasan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Ayah meninggal di hospital bukan ketika solat di masjid'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!